RoS perlu waspada? Tun Faisal dakwa Pas lengahkan isu penggantungan PN

Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) diminta berhati-hati terhadap dakwaan wujud usaha melengahkan proses penjelasan berhubung penggantungan Perikatan Nasional (PN), kata Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz.

Tun Faisal mendakwa, Pas selaku pengerusi dan pentadbir PN sepatutnya mengemukakan penjelasan kepada RoS dalam tempoh yang ditetapkan susulan notis yang dikeluarkan jabatan itu.

Bagaimanapun, beliau mempersoalkan tindakan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang dilaporkan meminta RoS memberikan penjelasan mengenai bentuk dan kandungan aduan yang dikemukakan Bersatu terhadap gabungan berkenaan.

Menurut Tun Faisal, alasan bahawa PN tidak mengetahui kandungan aduan tersebut sukar diterima kerana Takiyuddin sebelum ini telah dipanggil RoS untuk memberikan penjelasan berhubung perkara berkenaan.

“Jadi, saya dipanggil untuk memberi penjelasan, dan saya menjelaskan beberapa faktor kenapa parti itu tidak dipanggil untuk perbincangan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan itu susulan laporan bahawa PN telah mengemukakan surat kepada RoS bagi mendapatkan penjelasan sama ada gabungan berkenaan masih boleh menggunakan logo PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka. Takiyuddin turut berkata PN meminta butiran mengenai aduan Bersatu terhadap gabungan itu.

RoS pada 24 September menjelaskan bahawa notis yang dikeluarkan terhadap PN bukan keputusan untuk membatalkan pendaftaran gabungan itu. Sebaliknya, notis berkenaan bertujuan memberi ruang kepada PN memberikan penjelasan terhadap aduan Bersatu, manakala perintah penggantungan dikeluarkan bagi menjaga kepentingan pertubuhan daripada terus melanggar aturan pertubuhannya.

Pada 11 Ogos lalu, RoS mengesahkan menerima aduan rasmi Bersatu yang antara lain membabitkan dakwaan parti itu tidak dilibatkan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 16 Julai, selain isu berkaitan kedudukan keanggotaan Bersatu dalam gabungan berkenaan.

Tun Faisal mendakwa, Bersatu mempunyai pengalaman berhubung apa yang disifatkannya sebagai kelewatan oleh Pas sejak parti itu mengambil alih kepengerusian dan pentadbiran PN.

Antara perkara yang didakwa beliau termasuk kelewatan melaksanakan keputusan Mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 22 Februari lalu berhubung pindaan Perlembagaan PN, pemakluman status Ahli Parlimen Bersatu yang dipecat kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat serta pelaksanaan keputusan berkaitan jawatan Ketua Pembangkang.

Beliau turut mendakwa terdapat kelewatan dalam memanggil mesyuarat Majlis Tertinggi PN, mesyuarat persiapan pilihan raya serta mesyuarat rundingan kerusi selepas pembubaran DUN Johor dan Negeri Sembilan.

“RoS perlu berhati-hati dengan helah dan taktik melengahkan (delay tactic) dalam isu penggantungan penggunaan logo PN,” katanya.

Tun Faisal berkata, RoS tidak seharusnya membenarkan permintaan pentadbir PN untuk mendapatkan penjelasan tambahan menjadi ruang yang boleh melengahkan jawapan terhadap notis berkenaan, khususnya selepas beliau mendakwa pihak terbabit telah diberikan peluang untuk menjelaskan perkara tersebut sebelum ini.

Pada masa sama, isu penggunaan logo PN kini menjadi persoalan penting menjelang PRN Melaka. Takiyuddin sebelum ini berkata PN sedang menunggu jawapan RoS dan tidak menolak kemungkinan menggunakan logo Pas atau parti komponen lain sekiranya logo PN tidak boleh digunakan.

RoS setakat ini menegaskan proses berhubung aduan Bersatu dilaksanakan berdasarkan Akta Pertubuhan 1966, peraturan berkaitan, perlembagaan pertubuhan serta rekod rasmi jabatan. RoS juga menyatakan penelitian dibuat secara profesional dan tanpa memihak kepada mana-mana parti politik.

BACA JUGA Ini akhlak pemimpin yang jarang kita lihat dalam politik