Belanjawan 2027 teliti tekanan kos, perluas peluang perusahaan Bumiputera
Kerajaan akan memberi perhatian terhadap tekanan kos perolehan dan operasi yang dihadapi perusahaan kecil dalam merangka Belanjawan 2027, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, perkara itu antara isu utama dibangkitkan dalam sesi libat urus Belanjawan 2027 bersama wakil persatuan serta syarikat kontraktor Bumiputera di Perdana Putra, Putrajaya.
Menurutnya, perusahaan kecil merentas pelbagai industri kini berdepan kesulitan susulan tekanan kos perolehan dan operasi, termasuk yang berpunca daripada gangguan serta krisis bekalan global.
Selain tekanan kos, sesi berkenaan turut menyentuh aspek akses kepada peluang dan usaha memperkukuh daya saing perusahaan tempatan.
Anwar berkata, semua pandangan dan cadangan yang dikemukakan telah diambil maklum dan akan diteliti sewajarnya dalam proses merangka Belanjawan 2027.
Katanya, Kerajaan MADANI mahu memastikan belanjawan berkenaan membuka ruang lebih luas kepada rakyat dan perusahaan untuk meningkatkan kemampuan serta daya saing.
“Kerajaan MADANI akan memastikan Belanjawan 2027 ini dapat membuka ruang dan peluang yang lebih luas agar rakyat dan perusahaan dapat membina kemampuan serta mengangkat maruah anak watan,” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Pendekatan libat urus itu selari dengan proses penyediaan Belanjawan 2027 yang turut mendapatkan pandangan pelbagai pemegang taruh, termasuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Belanjawan 2027 akan memberi tumpuan antaranya kepada pertumbuhan ekonomi, kos sara hidup, pemerkasaan ekonomi serta peningkatan daya tahan negara berdepan cabaran global.
Belanjawan 2027 dijadualkan dibentangkan di Parlimen pada 9 Oktober ini.