Dua tokoh korporat bergelar Datuk Seri, Datuk direman SPRM disyaki salah guna kuasa RM10 juta
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan reman dua ahli korporat bergelar Datuk Seri dan Datuk Wira yang disyaki bersubahat menyeleweng dan menyalahgunakan kedudukan dalam urusan pelaburan kira-kira RM10 juta.
Perintah reman selama lima hari sehingga 5 Oktober depan terhadap kedua-dua suspek itu dikeluarkan Majistret Ezrene Zakariah selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi tadi.
Menurut sumber SPRM, siasatan awal mendapati kedua-dua suspek disyaki bersubahat melakukan perbuatan tersebut pada penghujung tahun 2020.
Katanya, kedua-dua suspek juga dipercayai bersubahat dengan seorang pegawai sebuah yayasan yang berasaskan pendidikan untuk meluluskan pelaburan berjumlah kira-kira RM10 juta kepada sebuah syarikat pelaburan milik abang kepada suspek pertama yang bergelar Datuk Seri berusia lingkungan 40-an.
Sumber berkata, SPRM telah menyita pelbagai aset dan barangan termasuk 15 kereta mewah serta 12 motosikal berkuasa tinggi dalam siasatan berkenaan.
“Turut disita lima jam tangan mewah, tiga gelang tangan dan wang tunai berjumlah kira-kira RM30,000.
“Sitaan dibuat susulan siasatan yang dijalankan terhadap kedua-dua suspek,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman, ketika dihubungi mengesahkan penahanan kedua-dua suspek.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.