Nasi lemak RM35, Indomie RM30 – Harga Makanan F1 jadi bualan, peminat diminta rancang bajet
Keriuhan Formula 1 bakal menggegarkan Litar Antarabangsa Sepang hujung minggu ini, dan selain aksi di litar, satu lagi perkara yang menjadi bualan peminat adalah harga makanan di dalam litar.
Tinjauan menerusi menu vendor rasmi yang dikongsi di media sosial mendapati, nasi lemak bersama telur goreng dijual pada harga RM35, nasi ayam RM30, Indomie bersama telur goreng RM30 manakala buah potong RM20.
Bagi acara bertaraf antarabangsa, harga sebegini sememangnya dianggap normal mengambil kira kos operasi, sewa tapak dan logistik di dalam litar. Namun bagi peminat tempatan, ia tetap menjadi perhatian.
Untuk yang hadir seharian bersama keluarga, perbelanjaan makanan perlu dirancang. Sebagai contoh, jika empat orang memilih nasi lemak RM35, jumlahnya sudah RM140 untuk sekali makan, belum termasuk air dan snek.
Oleh itu, peminat yang bakal ke Sepang dinasihatkan untuk merancang bajet makanan dengan lebih awal, semak menu menerusi QR rasmi dan bawa bajet lebih untuk keselesaan sepanjang berada di litar.
Penganjur juga menyediakan pelbagai pilihan menarik termasuk Bahrain Village yang menampilkan makanan, budaya dan hospitaliti Bahrain, menjadikan pengalaman F1 di Sepang lebih meriah.