RENCANA | Tanpa retorik agama, Selangor tampil ke depan bantu ibu tunggal teraniaya
OLEH FAIRUL AL QASAS
Ada bantuan yang nilainya mungkin tidak besar pada angka, tetapi sangat besar maknanya kepada sebuah keluarga yang sedang bertahan.
Ramai mungkin yang belum sedar bahawa Kerajaan Pakatan Harapan Selangor melancarkan program Bantuan Nafkah Rahmah.
Sebanyak RM100,000 diperuntukkan dalam program ini, khas bagi membantu kes nafkah tertunggak.
Bagi seorang ibu yang mempunyai perintah nafkah Mahkamah Syariah namun masih gagal menerima haknya, bantuan itu boleh menjadi ruang untuk bernafas.
Kerajaan Negeri Selangor menganggarkan sehingga 50 keluarga bakal menerima manfaat ini.
Kadar yang ditetapkan ialah RM2,000 untuk isteri dan RM1,000 bagi setiap anak, sebagai bantuan sementara proses penguatkuasaan undang-undang berjalan.
Bantuan sementara yang cukup bermakna. Dari pihak kerajaan negeri yang prihatin dan berkebajikan.
Mesej penting di sebalik dasar ini;
Kerajaan tidak mengambil alih tanggungjawab seorang bapa. Kerajaan membantu memastikan kegagalan seorang bapa tidak menjadikan anak-anaknya mangsa.
Kerajaan tidak mahu anak-anak teraniaya dan terabai. Ini merupakan sebuah dasar yang memahami realiti kehidupan rakyat.
Lebih menarik, inisiatif ini dilaksanakan melalui Bahagian Sokongan Keluarga (BSK), Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS).
Maknanya, bantuan ini bukan sekadar kebajikan, tetapi bergerak seiring dengan proses penguatkuasaan hak nafkah yang telah diperintahkan oleh Mahkamah Syariah.
Bantuan Selangor
Selangor sebenarnya sudah mempunyai pelbagai jaringan perlindungan sosial yang bersasar.
Dalam tahun 2026 sahaja, Kerajaan Negeri turut menyediakan BINGKAS, Baucar Kita Selangor, bantuan pengangkutan awam, sarapan percuma pelajar dan pelbagai lagi intervensi untuk golongan yang memerlukan.
Namun saya melihat Bantuan Nafkah Rahmah ini mempunyai dimensi yang tersendiri.
Ia memperlihatkan bagaimana, keadilan Islam melalui mahkamah syariah dapat dijalankan oleh sebuah Kerajaan negeri yang adil dan amanah.
Apabila sebuah kerajaan menggunakan kuasanya untuk memastikan wanita dan anak-anak yang mempunyai hak di sisi undang-undang tidak dibiarkan bersendirian, perkara itu wajar kita hargai dan dicontohi oleh negeri-negeri lain.
Kerajaan yang baik bukan hanya kerajaan yang membina bangunan besar. Bukan juga sekadar cantik berslogan dan yang paling kuat jeritan takbirnya.
Kerajaan yang baik ialah kerajaan yang tahu di mana rakyat sedang terluka, lalu hadir untuk mengurangkan kesakitan itu, dan dalam isu nafkah ini, mesej Kerajaan Negeri Selangor juga jelas:
Bantuan kerajaan bukan lesen untuk seorang bapa melepaskan tanggungjawab.
Nafkah tetap tanggungjawab. Ingat dosa pahala, ingat alam akhirat. Perintah mahkamah tetap wajib dihormati.
Bantuan kerajaan hanyalah jambatan sementara supaya anak-anak tidak menjadi mangsa kepada kegagalan orang dewasa menunaikan tanggungjawab.
tulah makna sebuah kerajaan yang betul-betul berkhidmat untuk rakyat dan negeri, dan ini adalah Kerajaan Pakatan Harapan.
Tahniah Kerajaan Selangor!