‘Saya akan letak jawatan, tapi…’ – Marhamah bersuara lepas didesak undur diri
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli tampil bersuara susulan gesaan beberapa pihak supaya beliau meletakkan jawatan.
Bercakap kepada media hari ini, Marhamah berkata beliau hanya akan meletakkan jawatan sekiranya terbukti beliau benar-benar bersalah menyesatkan orang ramai.
“Saya akan letak jawatan hanya apabila terbukti saya betul-betul menyesatkan orang dan betul-betul ada orang yang saya sesatkan,” katanya dalam Program Hi-Tea Bersama Sahabat Wakaf Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) 2026.
Beliau mencabar supaya tuduhan terhadapnya dibuktikan melalui mahkamah
“Buktikan di mahkamah,” tambahnya ringkas.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sudah mengadakan sesi pertemuan dan tabayyun bersama Marhamah susulan dakwaan mengaitkan beliau dengan penyebaran amalan perdukunan, sihir, azimat serta ajaran New Age Movement (NAM).
Pas Sabah sebelum ini menggesa Marhamah meletakkan jawatan sekiranya pihak berkuasa agama mengesahkan beliau terbabit atau menyokong fahaman (NAM).