Sembang perpaduan Melayu, Pas akhirnya kitar semula naratif PH didominasi DAP
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang sekali lagi mengitar semula naratif bahawa Pakatan Harapan (PH) didominasi DAP, ketika menghuraikan panjang lebar gagasan perpaduan Melayu-Islam.
Dalam tulisan terbaharunya menerusi Minda Presiden Pas bertajuk “Perpaduan Ummah Melayu Memimpin Malaysia” hari ini, Hadi bermula dengan hujah mengenai kepimpinan dalam Islam, sejarah pemilihan khalifah dan kedudukan kaum yang dianggap paling berpengaruh dalam sesebuah masyarakat.
Namun, selepas menghuraikan asas tersebut, Hadi akhirnya menghalakan serangannya kepada PH dan DAP dengan mendakwa gabungan kerajaan itu “didominasi” DAP serta membawa prinsip sekular yang memisahkan politik daripada agama.
Ahli Parlimen Marang yang kerap tidak hadir sidang Dewan Rakyat itu turut mendakwa fahaman sekular gagal memimpin masyarakat majmuk dan menangani salah laku termasuk rasuah.
Namun, tulisan berkenaan tidak mengemukakan data atau kajian khusus bagi menyokong hubungan yang dibuat antara sekularisme dengan rasuah.
Naratif membezakan Pas dengan parti yang disifatkannya sebagai sekular bukan kali pertama dibawa Hadi.
Dalam siri tulisannya sebelum ini, Hadi urut menegaskan Pas tidak memisahkan politik daripada Islam dan menyatakan Melayu Bumiputera Islam wajib memimpin negara.
Menerusi pendapatnya kali ini, Hadi sekali lagi menegaskan pendirian Pas bahawa pemimpin Malaysia hendaklah daripada kalangan Melayu Islam, dengan alasan kelompok itu mempunyai pengaruh kuat dan perlu menjadi tonggak kuasa politik.
Beliau malah mendakwa orang Melayu tidak bersikap fanatik terhadap perkauman seperti “sesetengah bangsa lain” dalam masyarakat majmuk, tanpa memperincikan bangsa yang dimaksudkan.
Dalam formulanya mengenai perpaduan, Pas tetap mahu perpaduan Melayu-Islam didahulukan sebagai “tonggak kuasa” sebelum diperluaskan kepada masyarakat pelbagai bangsa yang disifatkan sebagai satu keluarga besar.
Hadi turut memberi amaran terhadap fahaman liberal dan progresif yang menurutnya boleh membawa masyarakat melampaui batas, sambil menegaskan aqidah Islamiah kekal menjadi asas dalam Perlembagaan Pas.
BACA JUGA Dari kerusi CEO ke kerusi roda, Azlizan didakwa pecah amanah RM37.37 juta