Ada kelulusan tinggi pun boleh terjerumus rasuah, Anwar mahu mahasiswa ada iman, akhlak dan integriti
Kelulusan tinggi dan latar pendidikan yang baik belum tentu menjadi benteng seseorang daripada terjerumus dalam rasuah dan salah guna kuasa.
Perdana Menteri menegaskan skandal besar negara yang terbongkar kebelakangan ini sendiri memperlihatkan bagaimana golongan terdidik turut boleh tersasar apabila prinsip, akhlak dan hati nurani gagal dipertahankan.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, hakikat itu sepatutnya menjadi peringatan keras kepada mahasiswa bahawa universiti bukan sekadar tempat memburu ijazah, kelayakan tinggi atau kejayaan akademik.

Sebaliknya, tempoh di universiti perlu digunakan untuk membina manusia yang bukan sahaja berilmu, tetapi mempunyai iman, akhlak, integriti serta kekuatan prinsip supaya tidak mudah tunduk kepada godaan kuasa dan harta.
“Ilmu dan kelayakan tinggi sahaja tidak menjamin keluhuran peribadi.
“Skandal besar negara yang terbongkar kebelakangan ini memperlihatkan bagaimana golongan terdidik turut terjerumus dalam rasuah dan salah guna kuasa,” katanya.
Anwar berkata demikian ketika menghadiri Majlis Anugerah Tokoh Siswa Negara 2026 di Putrajaya, malam tadi, di sela-sela kesibukannya memuktamadkan Belanjawan Negara.
Hati nurani
Menurut Perdana Menteri, pendidikan yang tinggi tidak membawa makna besar sekiranya ilmu tidak disertai dengan hati nurani dan keberanian mempertahankan perkara yang benar.
Justeru, beliau mahu mahasiswa mengasah bukan sahaja pemikiran, tetapi turut memperteguh iman, akhlak dan jati diri supaya prinsip tidak mudah digadai apabila berdepan tawaran kuasa, kedudukan dan kekayaan.

Pada masa sama, Anwar yang juga Menteri Kewangan menegaskan universiti tidak boleh menjadi menara gading yang terpisah daripada realiti kehidupan rakyat.
Mahasiswa, katanya, perlu memahami permasalahan masyarakat, berani membetulkan kepincangan serta tampil membela nasib golongan yang terpinggir.

Beliau turut mencabar Generasi Z supaya mencetuskan kebangkitan semangat baharu yang menolak kebobrokan dan menjadikan ilmu sebagai kekuatan untuk membawa perubahan.
“Beranilah menggapai yang di langit, namun tetap mengakar ke bumi dengan iman, akhlak dan jati diri yang teguh.
“Jadikan ilmu sebagai kekuatan untuk membawa perubahan demi bangsa dan negara,” katanya.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu turut menyeru mahasiswa menggunakan ilmu untuk merapatkan jurang antara kaum, wilayah serta golongan kaya dan miskin supaya kemajuan negara dapat dinikmati dengan lebih adil.
Dalam majlis itu, Mohamad Amar Aidid Mohd Zain dari Universiti Utara Malaysia (UUM) dinobatkan sebagai Tokoh Siswa Negara 2026.
Anwar berharap pengiktirafan itu menjadi dorongan kepada mahasiswa untuk terus berkhidmat dengan ikhlas serta berpegang teguh kepada kebenaran.
BACA JUGA Dari kerusi CEO ke kerusi roda, Azlizan didakwa pecah amanah RM37.37 juta