Lee Chean Chung lepaskan kerusi Parlimen Petaling Jaya

Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung hari ini mengumumkan peletakan jawatannya sebagai wakil rakyat kawasan itu berkuat kuasa serta-merta, selepas mendedahkan beliau digantung keahlian PKR selama tiga tahun.

Lee berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira beberapa isu berkaitan urus tadbir, selain kedudukannya dalam parti selepas dikenakan tindakan penggantungan.

Bekas Bendahari Agung PKR itu turut memaklumkan akan mengemukakan surat peletakan jawatan sebagai ahli PKR pada 5 Oktober ini.

Menurut Lee, beliau mengesyaki penggantungan selama tiga tahun itu berkait dengan pendiriannya yang semakin lantang kebelakangan ini, walaupun sebab rasmi tindakan disiplin berkenaan perlu dirujuk kepada parti.

Pada 6 Ogos lalu, Lee secara terbuka mempersoalkan status baki peruntukan Parlimen Petaling Jaya bernilai RM3 juta selepas mendakwa dana berkenaan tidak lagi disalurkan melalui pejabat Ahli Parlimen yang dipilih rakyat.

Beliau mendakwa menerima tangkap layar yang menunjukkan permohonan bagi kerja kecil dan sumbangan kewangan di kawasan itu boleh dirujuk kepada Ketua Cabang PKR Petaling Jaya, Hee Loy Sian.

Lee ketika itu menegaskan peruntukan Parlimen merupakan wang awam yang sepatutnya digunakan untuk manfaat semua penduduk tanpa mengira kecenderungan politik.

Beliau turut mempersoalkan sama ada perubahan mekanisme penyaluran dana itu dibuat menerusi saluran rasmi dan sama ada terdapat prosedur serta mekanisme semak dan imbang yang jelas.

“Mengapakah tiada sebarang pengumuman rasmi dibuat?

“Jika benar berlaku perubahan mekanisme penyaluran peruntukan, mengapa tiada pekeliling, kenyataan rasmi atau garis panduan diumumkan kepada rakyat Petaling Jaya?” katanya ketika membangkitkan isu itu pada Ogos lalu.

Pada Jun lalu, Lee meletakkan jawatan sebagai anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR selepas 18 tahun bersama parti.

Namun, ketika itu, Lee menyatakan mahu kekal sebagai ahli dan meneruskan tugas sebagai Ahli Parlimen sehingga Parlimen dibubarkan.

BACA JUGA ‘Kami bersama Datuk Seri’, sokongan netizen terus mengalir buat Shuhaily