Pesawah perlu bersedia hadapi El Nino, pengurusan air dan jadual tanaman diberi perhatian- Bang Mat

Pesawah khususnya di kawasan jelapang padi Muda perlu membuat persediaan lebih awal bagi menghadapi fenomena El Nino yang berpotensi menjejaskan bekalan air serta jadual penanaman padi pada musim akan datang.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, perkara itu antara yang dibincangkan ketika beliau menerima taklimat daripada Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) berhubung persediaan menghadapi fenomena berkenaan.

Katanya yang mesra disapa sebagai Bang Mat menjelaskan, persediaan tidak boleh dilakukan pada saat akhir kerana perubahan cuaca dan kekurangan sumber air boleh memberi kesan secara langsung kepada aktiviti penanaman serta pengeluaran padi.

“Persediaan mesti dibuat sekarang dan semua pesawah perlu dimaklumkan mengenai risiko ancaman El Nino serta langkah mitigasi yang akan dijalankan,” katanya dalam hantaran di media sosial.

Menurut Mohamad, pengurusan bekalan air perlu diberi perhatian serius bagi memastikan sumber yang ada dapat digunakan secara optimum sepanjang tempoh penanaman.

Beliau berkata, jadual penanaman juga perlu diuruskan dengan teliti supaya sebarang perubahan akibat keadaan cuaca tidak menjejaskan keseluruhan kitaran tanaman dan akhirnya memberi kesan kepada hasil tuaian.

Perkara itu penting memandangkan MADA sebelum ini memaklumkan paras takungan tiga empangan utamanya berada pada tahap terhad, dengan keseluruhan takungan sekitar 35.76 peratus pada 17 September lalu. 

MADA turut memberi amaran bahawa status pengairan musim penanaman ketika itu bergantung kepada keberkesanan taburan hujan. 

MADA juga memaklumkan kebarangkalian fenomena El Nino meningkat sehingga 96 peratus menjelang penghujung tahun, dengan keadaan panas, kering dan risiko defisit hujan berpotensi memberi cabaran kepada ketersediaan sumber air serta aktiviti penanaman padi di kawasan Muda. 

Sehubungan itu, Mohamad berkata semua risiko yang boleh menjejaskan pengeluaran padi perlu dikenal pasti dan diuruskan dengan sebaik mungkin, manakala pelaksanaan setiap langkah mitigasi hendaklah dipantau secara serius.

“Setiap tindakan mesti dipantau dengan serius,” katanya sambil menegaskan bahawa isu padi dan beras bukan sekadar berkaitan kepentingan sektor pertanian, sebaliknya menyentuh keperluan makanan rakyat.

Kerajaan sebelum ini turut menyatakan beberapa langkah mitigasi bagi menghadapi kesan El Nino, termasuk pemantauan berterusan paras air empangan dan kawasan tadahan, pengurusan sumber air secara bersepadu serta penggunaan sistem pengairan pintar bagi mengoptimumkan penggunaan air. 

MARDI pula diarahkan mempergiat penyelidikan bagi menghasilkan varieti padi yang lebih tahan terhadap kemarau dan perubahan cuaca, termasuk beberapa varieti yang dikenal pasti mempunyai ciri ketahanan terhadap keadaan kering. 

Mohamad berkata, semua usaha itu perlu dilaksanakan secara tersusun kerana sebarang gangguan terhadap pengeluaran padi boleh memberi kesan kepada rantaian bekalan makanan negara.

“Soal padi dan beras ini soal makanan rakyat. Justeru setiap tindakan mesti dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab,” katanya.