‘Dulu Bersatu ada kuasa, duit pun sikap sama’, Tun Faisal sindir Pas sedia guna logo BN

Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz tampil menyindir kesediaan Pas menggunakan lambang Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Dalam reaksi ringkasnya, Tun Faisal berkata, beliau tidak hairan dengan perkembangan berkenaan sambil mengingatkan Umno supaya berhati-hati dalam menjalin kerjasama dengan Pas.

“Guna logo BN pun boleh. Dulu masa Bersatu ada kuasa, duit, macam itu juga sikapnya.

“Beringat-ingatlah Umno,” katanya.

Semalam, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang memberitahu partinya bersedia menggunakan sama ada lambang sendiri atau logo BN jika kedua-dua parti mencapai persetujuan kerjasama bagi menghadapi PRN Melaka.

Perkembangan itu sekali gus memperlihatkan perubahan landskap kerjasama politik Pas selepas hubungannya dengan Bersatu semakin renggang sejak beberapa bulan lalu.

Malah, sebelum ini Tun Faisal pernah mengkritik kepimpinan Pas dalam Perikatan Nasional (PN), termasuk mendakwa parti berkenaan gagal menguruskan gabungan secara adil serta mengabaikan semangat kerjasama antara parti komponen.

Pada Jun lalu, Tun Faisal juga pernah mencadangkan supaya Pas membentuk gabungan baharu atau menggunakan jenama dan logonya sendiri jika tidak lagi sehaluan dengan Bersatu dalam PN.

Sementara itu, rundingan antara Pas dan Umno bagi menghadapi PRN Melaka dilaporkan semakin maju, dengan pembahagian kerusi antara kedua-dua pihak dikatakan sudah mencapai kira-kira 90 peratus.

Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini berkata, soal penggunaan lambang BN oleh Pas akan dibincangkan bersama kepimpinan gabungan berkenaan sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.

PRN Melaka ke-16 bakal diadakan susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 23 September lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijadualkan mengadakan mesyuarat khas pada 7 Oktober ini untuk menetapkan tarikh rasmi bagi hari penamaan calon dan hari pengundian bagi PRN Melaka.

BACA JUGA Tun Faisal dakwa ‘lebai Pas’ salah guna kuasa, khianat dan fitnah