Anak muda perlu berani bersuara, rendah hati terima pandangan berbeza – Raja Muda Selangor

FOTO BERITA: Kejohanan Debat Raja Muda Selangor 2026 yang disempurnakan oleh Raja Muda Selangor, Duli Yang Teramat Mulia Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj. Turut hadir YB Najwan Halimi EXCO Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri Selangor, Mohamad Nizam Marjugi dan YB Abbas Salimi Azmi Timbalan Pengerusi ll Lembaga Pengurus MSN Selangor di Sunway Resort Hotel, Bandar Sunway, Selangor. 3hb Oktober 2026 (Sabtu)

Anak muda perlu mempunyai keberanian menyuarakan pandangan, namun pada masa sama bersedia mendengar, menerima cabaran terhadap idea sendiri dan mengakui kesilapan.

Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, perbezaan pendapat sebenarnya membuka ruang kepada proses pembelajaran dan membentuk kematangan pemikiran seseorang.

“Apabila seseorang berkata, ‘saya tidak bersetuju’, kita terpaksa bertanya kepada diri sendiri, mengapa saya percaya dengan apa yang saya percaya?

“Di situlah pembelajaran sebenar bermula. Apabila itu berlaku, jangan takut untuk berkata, mungkin saya silap. Itu bukan kelemahan atau kekalahan, tetapi keberanian intelektual,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika menyampaikan ucapan penutup Kejohanan Debat Raja Muda Selangor 2026 di Sunway Resort Hotel, Bandar Sunway.

Kejohanan selama dua hari itu menghimpunkan 42 pasukan membabitkan 170 pendebat muda dari Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Menurut Tengku Amir Shah, platform debat bukan sekadar medan merebut trofi, sebaliknya memberi peluang kepada anak muda untuk berfikir secara mendalam, berani bertanya, mendengar dengan teliti serta menyampaikan idea dengan yakin.

Baginda turut berkongsi pengalaman mengikuti program Transformational Leadership Fellowship di Blavatnik School of Government, University of Oxford yang mempertemukan baginda dengan individu daripada pelbagai negara, profesion dan latar belakang

Baginda turut berkongsi pengalaman mengikuti program Transformational Leadership Fellowship di Blavatnik School of Government, University of Oxford yang mempertemukan baginda dengan individu daripada pelbagai negara, profesion dan latar belakang.

Menurut baginda, pengalaman itu mengajar bahawa seseorang tidak perlu bersetuju dengan orang lain untuk belajar daripada mereka, malah perbualan paling bernilai kadangkala datang daripada individu yang mencabar cara seseorang berfikir.

Sekolah Menengah Sains Kuala Selangor muncul juara edisi sulung kejohanan berkenaan dengan membawa pulang wang tunai sebanyak lapan ribu ringgit setra piala.

Baginda turut mengingatkan bahawa memiliki suara datang bersama tanggungjawab kerana kepimpinan bukan sekadar berani bersuara, tetapi turut menyediakan ruang supaya suara orang lain dapat didengar.

“Selangor bukan sekadar memerlukan anak muda yang boleh bercakap. Selangor memerlukan anak muda yang mempunyai sesuatu yang bermakna untuk diperkatakan serta keberanian, kebijaksanaan dan kerendahan hati untuk menyampaikannya dengan baik,” titah baginda.