MYEG digantung – Jangan panik, JPJ dah sediakan saluran alternatif
Perkhidmatan MY E.G. Services Berhad (MYEG) dan Zetrix AI Berhad di bawah Kumpulan MYEG sebagai Ejen Pemungut bagi pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan digantung mulai 5 Oktober 2026, susulan isu pematuhan terhadap terma dan syarat perjanjian serta obligasi yang masih belum dipenuhi atau diselesaikan.
Ketua Pengarah Pengangkutan Jalan Malaysia, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pematuhan terhadap terma dan syarat perjanjian yang ditetapkan, selain kedudukan tanggungjawab syarikat berkenaan yang masih belum diselesaikan.
“Selaras dengan keputusan ini, semua perkhidmatan JPJ yang sebelum ini ditawarkan melalui saluran Kumpulan MYEG akan digantung mulai 5 Oktober 2026,” katanya dalam kenyataan.
Bagaimanapun, beliau memberi jaminan bahawa penggantungan berkenaan tidak akan menjejaskan kesinambungan perkhidmatan kepada orang ramai kerana JPJ menyediakan pelbagai saluran rasmi dan alternatif.
Bagi pembaharuan Lesen Kenderaan Motor (LKM), orang ramai boleh menggunakan kaunter JPJ, aplikasi MyJPJ, Portal Awam JPJ, Kios JPJ, Kaunter Mobile JPJ, Pejabat Pos serta Puspakom mengikut kategori kenderaan dan jenis urusan.
Pembaharuan LKM bagi kenderaan persendirian dan e-hailing boleh dilakukan melalui aplikasi MyJPJ serta Portal Awam JPJ, manakala Kios JPJ menyediakan perkhidmatan bagi kenderaan persendirian.
Kaunter Mobile JPJ pula menyediakan urusan pembaharuan bagi kenderaan persendirian dan perdagangan, manakala Pejabat Pos boleh digunakan bagi kenderaan persendirian.
Bagi kenderaan persendirian dan perdagangan kategori de-controlled, pembaharuan juga boleh dilakukan melalui Puspakom.
Sementara itu, pembaharuan Lesen Memandu Malaysia (CDL) boleh dilakukan melalui kaunter JPJ, aplikasi MyJPJ, Portal Awam JPJ, Kios JPJ, Kaunter Mobile JPJ dan Pejabat Pos.
Bagi permohonan Lesen Memandu Malaysia (LDL), orang ramai boleh berurusan melalui kaunter JPJ, aplikasi MyJPJ, Portal Awam JPJ, Kios JPJ dan Kaunter Mobile JPJ.
Semakan serta pembayaran saman pula boleh dilakukan melalui kaunter JPJ, aplikasi MyJPJ, Kios JPJ, Portal Awam JPJ dan Kaunter Mobile JPJ.
Urusan pertukaran hak milik turut diteruskan melalui beberapa saluran, termasuk kaunter JPJ, Kios JPJ bagi motosikal persendirian individu warganegara serta Portal Awam JPJ bagi individu warganegara dan syarikat.
Selain itu, Syarikat eAuto juga menyediakan kemudahan melalui Sistem Tukar Hak Milik Sementara dan eSerahan Tukar Hak Milik.
Tempahan ujian KPP yang sudah dibuat masih sah
Bagi tempahan Ujian Undang-Undang Berkomputer (KPP01) yang telah dibuat melalui saluran MYEG sebelum 5 Oktober 2026, tempahan berkenaan masih dibenarkan dan boleh diteruskan seperti biasa.
Namun, bagi tempahan baharu yang dibuat mulai tarikh tersebut, urusan tempahan serta pelaksanaan ujian hendaklah dilakukan melalui Pusat Ujian KPP yang disediakan di Institut Memandu di seluruh negara.
Perubahan saluran itu bermakna orang ramai yang sebelum ini menggunakan MYEG untuk urusan berkaitan JPJ perlu beralih kepada saluran rasmi yang ditetapkan bermula Isnin.
Dalam pada itu, bagi pembayaran saman membabitkan bukan warganegara Malaysia di pintu masuk sempadan Malaysia-Singapura, JPJ akan menyediakan kemudahan melalui Unit Mobile JPJ.
Unit berkenaan ditempatkan di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) dan Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Johor, dengan operasi bermula 8 pagi hingga 10 malam.
JPJ menasihatkan orang ramai supaya menggunakan saluran rasmi yang disediakan bagi memastikan urusan dapat dilakukan dengan lancar dan selamat.
Jabatan itu turut menegaskan bahawa kesinambungan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat akan diteruskan, dengan setiap urusan dilaksanakan secara teratur, telus dan berintegriti.
BACA JUGA “Empat biji buah pala pun curi” – Nasihat nenek jadi pegangan bila jadi PM