Pelajar 16 tahun ditemui tidak sedarkan diri dalam sekolah, meninggal dunia

Seorang pelajar perempuan tingkatan empat ditemui tidak sedarkan diri dalam sebuah sekolah menengah di Yong Peng di sini sebelum meninggal dunia, petang semalam.

Mangsa berusia 16 tahun itu dipercayai ditemui terbaring di dalam dewan sekolah dengan kesan darah dan lebam pada tubuh, dalam kejadian yang kini disiasat polis sebagai kes bunuh.

Menurut sumber, mangsa yang tinggal bersama neneknya dipercayai hadir ke sekolah berkenaan pada sebelah petang untuk mengikuti kelas tuisyen.

Kehilangan mangsa disedari neneknya selepas seorang rakan mangsa bertanyakan sama ada remaja itu berada di rumah pada tengah hari.

“Sebaik menyedari mangsa tiada di rumah, neneknya bergegas ke sekolah dan menemui remaja berkenaan sudah terbaring dalam keadaan lemah.

“Mangsa ditemui terbaring lemah dengan kesan darah sudah kering, ada kesan lebam seperti kena pukul. Semasa dijumpai, mangsa masih sedar sebelum tidak sedarkan diri,” katanya.

Sumber berkata mangsa merupakan anak yatim dan tinggal bersama neneknya di daerah berkenaan selepas kematian ibunya, manakala bapanya bekerja di Kuala Lumpur.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani ketika dihubungi mengesahkan kes berkenaan masih dalam siasatan.

Beliau berkata Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca kejadian serta perkara berkaitan.

Kes berkenaan dipercayai disiasat sebagai kes bunuh.

BACA JUGA Dr Shamrahayu : Proses penurunan takhta Tuanku Muhriz bukan sesuka hati