Separuh kes kanser payudara dikesan lewat, Wan Azizah rayu wanita jangan tunggu

FOTO BERITA: Majlis Perasmian Karnival Kesihatan MADANI yang disempurnakan oleh YB Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Dr. Wan Ismail, Ahli Parlimen Bandar Tun Razak di Institut Latihan DBKL (IDB), Jalan Yaakob Latiff Bandar Tun Razak Kuala Lumpur. 4hb Oktober 2026 (Ahad)

Dato’ Seri Dr Wan Azizah Dr Wan Ismail menggesa wanita supaya tidak menunggu sehingga muncul gejala serius sebelum menjalani saringan kanser payudara, susulan lebih separuh kes penyakit itu di Malaysia dikesan pada tahap lewat.

Sebaliknya, katanya, kadar kelangsungan hidup pesakit boleh mencapai lebih 90 peratus sekiranya kanser berkenaan dikesan lebih awal pada tahap satu dan dua.

“Masalah kita ialah mereka datang lambat, tahap tiga dan empat. Jadi, rawatannya menjadi kurang efektif. “Itu yang kita mahukan hari ini, untuk memberikan kesedaran terutama kepada wanita di Bandar Tun Razak,” katanya ketika merasmikan Karnival Kesihatan MADANI Parlimen Bandar Tun Razak sempena Oktober Bulan Kesedaran Kanser Payudara 2026 di Institut Latihan DBKL (IDB), hari ini.

Menurut Wan Azizah, wanita juga perlu membiasakan diri melakukan pemeriksaan payudara sendiri dan segera mendapatkan pemeriksaan lanjut sekiranya mengesan sebarang perubahan atau sesuatu yang mencurigakan.

“Buatlah pemeriksaan sendiri. Kita tahu tubuh kita sendiri. Kalau terasa ada sesuatu, pergilah periksa. “Wanita, tolonglah, sebab kesihatan itu adalah amanah yang kita mesti jaga,” katanya.

Dalam ucapannya, Wan Azizah memaklumkan National Cancer Registry merekodkan 18,206 kes kanser payudara bagi tempoh 2007 hingga 2011 sebelum meningkat kepada 29,534 kes bagi tempoh 2017 hingga 2021.

Risiko sepanjang hayat seorang wanita di Malaysia untuk mendapat kanser payudara pula dianggarkan seorang daripada setiap 23 wanita.

Beliau berkata, LPPKN menyediakan Program Subsidi Ujian Mamogram, termasuk pemeriksaan percuma kepada wanita warganegara Malaysia berumur 40 hingga 70 tahun daripada isi rumah berpendapatan RM10,000 ke bawah.

Wan Azizah turut menyeru wanita yang berkemampuan supaya tidak mengabaikan saringan, selain memanfaatkan kemudahan pemeriksaan yang disediakan pelbagai pihak termasuk LPPKN dan KPJ Healthcare.

Pada masa sama, Program Jelajah KASIH MADANI @ Bandar Tun Razak melalui Klinik Waqaf An-Nur menyediakan saringan kesihatan asas termasuk tekanan darah, kencing manis dan kolesterol, konsultasi kesihatan keluarga serta rujukan rawatan dengan caj pesakit luar serendah RM10.

“Pergilah periksa. Kita mahu lebih ramai wanita membuat saringan supaya pengesanan dan rawatan dapat dilakukan lebih awal,” tegas Wan Azizah.

“Marilah kita terus menyemai budaya pemeriksaan kesihatan berkala, menghapus stigma dan menyebarkan kasih sayang melalui kesedaran. Ingat, jalanilah pemeriksaan awal!” katanya.

