Tuanku Muhriz kekal Yang di-Pertuan Besar, Proklamasi 19 April tak sah – DKU
Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan menegaskan Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir kekal sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang sah, manakala Proklamasi 19 April 2026 yang didakwa menamatkan kedudukan baginda tidak mempunyai kesan dari sudut Perlembagaan.
Dalam Perutusan Rasmi Setiausaha DKU Negeri Sembilan bertarikh 4 Oktober 2026, DKU berkata tiada proses perlembagaan yang sah berlaku sehingga menyebabkan kedudukan Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar berakhir.
Menurut DKU, Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS) menetapkan keperluan supaya Undang menjalankan “penyiasatan yang secukupnya dan sepenuhnya” sebelum boleh meminta Yang di-Pertuan Besar meletakkan jawatan atau turun takhta.
DKU berkata tiada rekod, minit, laporan atau dapatan penyiasatan sedemikian dalam rekod Setiausaha Dewan, selain Tuanku Muhriz juga tidak diberikan notis sewajarnya atau peluang bermakna untuk menjawab dakwaan yang dikemukakan terhadap baginda.
Dewan itu turut menolak dakwaan bahawa tiga soalan yang dikemukakan kepada Tuanku Muhriz pada 5 Mac 2026 dan tempoh 45 hari yang diberikan selepas itu boleh dianggap sebagai penyiasatan penuh seperti dikehendaki Perkara 10.
Malah, menurut DKU, persidangan Dewan pada 5 Mac 2026 yang berlangsung kira-kira sejam tidak merekodkan sebarang penyiasatan berhubung kedudukan Yang di-Pertuan Besar, manakala keterangan mengenai apa yang berlaku pada tarikh berkenaan hanya dikemukakan kemudian tanpa sokongan rekod kontemporari.
DKU pada masa sama menolak dakwaan bahawa Negeri Sembilan mempunyai konsep “Raja Majmuk” yang membolehkan Yang di-Pertuan Besar dan pihak lain secara bersama menjalankan kuasa sebagai Raja negeri, dengan menegaskan UUTKNS 1959 hanya memperuntukkan seorang Yang di-Pertuan Besar.
Berhubung pihak yang menandatangani Proklamasi 19 April, DKU mendakwa hanya seorang daripada penandatangan terbabit merupakan Undang yang sah pada ketika itu, manakala tiga lagi tidak lagi memegang kedudukan Undang mengikut proses adat yang berkuat kuasa.
DKU berkata Perkara 29 UUTKNS yang menentukan bilangan Undang bagi melaksanakan sesuatu kuasa tidak boleh digunakan untuk mengesahkan kedudukan individu yang tidak lagi memegang jawatan Undang secara sah.
Dewan itu turut menegaskan tandatangan Menteri Besar pada 3 Ogos 2026 tidak boleh menghidupkan semula Proklamasi 19 April yang menurutnya telah kehilangan kesan, lebih-lebih lagi selepas Menteri Besar ketika itu didakwa enggan menandatangani dokumen berkenaan pada 20 April.
Kedudukan Tuanku Muhriz selepas 19 April turut menjadi asas pendirian DKU apabila baginda kemudiannya membubarkan Dewan Undangan Negeri pada 5 Jun, sebelum Datuk Haji Ismail Lasim mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar pada 2 Ogos di hadapan baginda.
DKU juga mempertikaikan “Sidang Khas” pada 5 September lalu dengan menyatakan ia bukan persidangan Dewan yang sah, selain mendakwa perhimpunan itu berlangsung ketika injunksi interim Mahkamah Tinggi bertarikh 5 Jun masih berkuat kuasa terhadap enam plaintif dalam prosiding berkaitan.
Berhubung surat bertarikh 30 September yang antara lain meminta kerajaan Persekutuan mengambil tindakan terhadap urusan pentadbiran Negeri Sembilan dan pewartaan negeri, DKU menegaskan surat itu tidak wajar diberikan kesan kerana bersandarkan dokumen 19 April dan 5 September yang dianggap tidak mempunyai kesan undang-undang.
DKU mengekalkan keputusan 31 Julai 2026 bahawa Proklamasi 19 April tidak mematuhi Perkara 10 UUTKNS dan tidak menamatkan kedudukan Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar, selain menggesa PDRM serta Jabatan Peguam Negara menyiasat dakwaan kesalahan jenayah berkaitan perkara itu serta meminta semua pihak menghormati undang-undang, proses mahkamah dan rantaian kuasa yang sah.
BACA JUGA Calon PM: ‘Gajah’ dah jadi ‘tikus’? – Tun Faisal persoal pendirian Pas