DKU tegaskan Tuanku Muhriz kekal Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan
Dewan Keadilan dan Undangan Negeri Sembilan (DKU) sekali lagi menegaskan bahawa Tuanku Muhriz Tuanku Munawir kekal sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.
Setiausaha Dewan Raja Norazli Raja Nordin berkata Tuanku Muhriz dipilih oleh para Undang dan dimasyhurkan sebagai Yang Dipertuan Besar ke-11 pada 29 Dis 2008 serta ditabalkan secara rasmi menurut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS) pada 26 Okt 2009.
Beliau berkata Tuanku Muhriz terus memegang jawatan itu, bersama dengan jawatan Yang Dipertua Dewan di bawah Perkara 19.
Menurut Raja Norazli, UUTKNS 1959 menetapkan proses tertentu yang perlu dipatuhi sekiranya jawatan Yang di-Pertuan Besar hendak dikosongkan.
“UUTKNS 1959 memperuntukkan satu-satunya cara yang sah bagi jawatan tersebut menjadi kosong, jika dikatakan bahawa para Undang telah menyeru Duli Yang Maha Mulia supaya berundur atau turun takhta, Perkara 10 mensyaratkan penyiasatan yang secukupnya dan sepenuhnya oleh para Undang; suatu penentuan bahawa wujud alasan yang dinyatakan dalam Perkara 10 tersebut.
“Pelaksanaan kuasa itu oleh orang-orang yang memegang jawatan Undang secara sah dalam bilangan yang dikehendaki oleh Perkara 29 dan suatu proklamasi di bawah Perkara 10(2),” katanya dalam perutusan rasmi, semalam.
Beliau berkata, tiada satu pun daripada syarat berkenaan telah dipenuhi, sekali gus menyaksikan Tuanku Muhriz terus menjalankan fungsi sebagai Yang di-Pertuan Besar sejak 19 April lalu.
Dewan juga, katanya, terus bersidang dengan baginda sebagai Yang Dipertua.
“Tempoh Duli Yang Maha Mulia Tuanku Muhriz memegang jawatan tersebut hanya boleh ditamatkan menurut cara yang diperuntukkan oleh UUTKNS 1959.
“Dewan tidak mengiktiraf mana-mana orang lain sebagai memegang jawatan tersebut,” katanya.
Dalam pada itu, Raja Norazli turut menafikan berlaku campur tangan Tuanku Muhriz dalam urusan Luak Sungei Ujong ketika sesi persidangan pada 17 April lalu.
Menurutnya, rekod Dewan menunjukkan perkara yang dibawa dalam persidangan berkenaan adalah aduan wakil Telaga Undang Luak Sungei Ujong, iaitu Ibu Soko dan Waris Klana Hulu.