Gabungan SIC, BIC jadikan F1 Bahrain Grand Prix 2026 berjaya

Kerjasama erat antara Sepang International Circuit (SIC) dan Bahrain International Circuit (BIC) menjadi antara faktor utama kejayaan penganjuran Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix 2026 di Litar Antarabangsa Sepang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerjasama kedua-dua litar, bersama komitmen seluruh pasukan penganjur, telah memungkinkan perlumbaan berkenaan berlangsung dengan jayanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Bahrain atas kepercayaan yang diberikan kepada Malaysia dan SIC untuk menjayakan perlumbaan berkenaan, yang disifatkan turut mempererat persahabatan antara kedua-dua negara.

“Kerjasama erat SIC dan BIC disertai komitmen seluruh pasukan penganjur, telah memungkinkan perlumbaan ini berlangsung dengan jayanya.

“Saya merakamkan penghargaan kepada Bahrain atas kepercayaan kepada Malaysia dan Litar Antarabangsa Sepang untuk menjayakan Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix 2026, sekali gus mempererat persahabatan kedua-dua negara.

“Salut kepada semua yang bertungkus-lumus, daripada pemandu bas, anggota keselamatan dan sukarelawan hingga peniaga serta petugas kebersihan, kerana di sebalik kemeriahan ini ada keringat dan kesungguhan mereka yang wajar kita hargai,” kata beliau.

Perdana Menteri turut memuji rakyat tempatan yang disifatkan berjaya mengangkat imej positif negara di mata pengunjung antarabangsa.

“Terima kasih kepada peminat F1 dari seluruh dunia yang hadir dan terutamanya rakyat Malaysia yang memeriahkan perlumbaan serta menyambut para tetamu dengan penuh kemesraan dan budi bahasa.

“Kalian telah memperlihatkan wajah Malaysia yang mesra, terbuka dan kaya dengan semangat muhibah. Semoga kita ketemu lagi di Sepang. Insya-Allah!,” kata beliau