Usaha kerajaan kurangkan import makanan buahkan hasil, turun RM1 bilion

Komitmen Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dalam mengurangkan kebergantungan import makanan menunjukkan hasil apabila kadar import sektor agro makanan turun RM1 bilion daripada RM93.7 bilion pada 2024 kepada RM92.7 bilion pada 2025.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, fokus utama kerajaan kini adalah memperkasa industri padi dan beras negara melalui projek penanaman lima kali dua tahun di MADA.

Selain itu fokus turut terarah kepada penambahbaikan sistem pengairan di KADA Kelantan dan Kota Belud, Sabah, serta pembukaan 14,000 hektar sawah baharu di Sarawak dengan peruntukan RM1 bilion, ke arah sasaran 80 peratus SSR beras menjelang 2030.

“KPKM memang komited dalam melaksanakan pelbagai langkah strategik dan proaktif bagi mengurangkan kadar pergantungan bekalan makanan import yang telah melebihi RM90 bilion pada 2025.

“Berdasarkan statistik kadar import negara bagi sektor agro makanan, didapati menurun sedikit iaitu 1.1 peratus daripada RM93.7 bilion pada 2024 kepada RM92.7 bilion pada 2025. Penurunan RM1 bilion,” kata beliau dalam Sidang Dewan Rakyat pagi ini.

Mohamad berkata, kerajaan akan terus membela nasib petani dan penternak tempatan dengan mewajibkan Sijil Analisis (COA) untuk sayur import dan penilaian risiko untuk ikan import, bagi memastikan hasil tempatan terus berdaya saing.