Harimau Malaya tewaskan Vietnam, PM Anwar ucap tahniah, kerja seperti biasa hari ini

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada skuad Harimau Malaya selepas menewaskan Vietnam sekali gus meraih tempat ketiga dalam saingan FIFA ASEAN Cup semalam.

Lebih membanggakan, skuad kebangsaan menamatkan keseluruhan kejohanan tanpa kalah dan tanpa dibolosi.

“Syabas dan tahniah kepada Harimau Malaya atas kejayaan menewaskan Vietnam, sekali gus meraih tempat ketiga serta menamatkan saingan FIFA ASEAN Cup tanpa kalah dan tanpa bolos!” katanya.

Anwar turut merakamkan penghargaan kepada seluruh pemain dan barisan kejurulatihan atas kesungguhan serta semangat juang yang dipamerkan sepanjang kejohanan.

Menurut beliau, komitmen skuad negara membuktikan semangat tinggi setiap pemain ketika membawa cabaran Malaysia di pentas antarabangsa.

“Terima kasih kepada seluruh pemain dan barisan kejurulatihan atas kesungguhan dan semangat juang demi lencana di dada.

“Terus melangkah, terus berjuang dan harumkan nama negara!” katanya.

Dalam nada berseloroh, Anwar turut menyelitkan nota bahawa kejayaan Harimau Malaya itu tidak membawa kepada pengumuman cuti umum hari ini.

“Tiada cuti umum ya, termasuk buat warga luar yang bekerja di Malaysia. Esok (hari ini) kerja seperti biasa,” katanya sambil disertai emoji mengenyit mata.