Koko dari Uganda bernilai hampir RM12 juta, disekat AKPS

Cubaan membawa masuk 637 tan biji koko dari Uganda bernilai hampir RM11.9 juta berjaya dipatahkan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) selepas dagangan itu dikesan dalam sebuah kontena di Pelabuhan Pasir Gudang, Johor.

Kesemua 637,000 kilogram atau 9,100 guni biji koko itu dikesan pegawai penguat kuasa AKPS pada kira-kira 3.50 petang, 3 Oktober lalu ketika menjalankan pemeriksaan terhadap kontena berkenaan.

AKPS dalam kenyataan hari ini berkata, pemeriksaan mendapati kontena terbabit mengandungi biji koko yang dibawa masuk dari Uganda dengan jumlah keseluruhan dagangan dianggarkan bernilai RM11,886,444.72.

Bagaimanapun, dokumen berkaitan dagangan berkenaan didapati tidak lengkap dan mencurigakan, menyebabkan kesemua barangan itu ditahan bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

Kes berkenaan turut membabitkan aspek pematuhan syarat kemasukan keluaran pertanian ke negara ini, khususnya barangan yang melalui pintu masuk antarabangsa.

AKPS berkata, sebarang perbuatan atau cubaan mengisytiharkan maklumat yang bercanggah di pintu masuk negara merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 13, Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).

Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagi kesalahan kedua atau seterusnya pula, pesalah boleh didenda sehingga RM75,000 atau dipenjarakan sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Menurut AKPS, pihaknya memandang serius cubaan membawa masuk dagangan dengan dokumen yang tidak lengkap atau mencurigakan, terutama apabila ia membabitkan keluaran pertanian.

Agensi itu menegaskan penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan di pintu masuk negara bagi memastikan setiap dagangan yang dibawa masuk mematuhi syarat serta peraturan yang ditetapkan kerajaan.

Kesemua biji koko berkenaan kini ditahan sementara siasatan lanjut dijalankan bagi menentukan status sebenar dagangan dan tindakan yang wajar diambil terhadap pihak terbabit.

BACA JUGA Belum tahu siapa pelaku khianati masjid di Kelantan, boleh pula salahkan kerajaan Madani