Sebelum nak pimpin negara, buktikan dulu mampu pimpin PN, kata Mahfuz kepada Pas
Pas perlu membuktikan terlebih dahulu keupayaannya memimpin Perikatan Nasional (PN) sebelum meyakinkan rakyat bahawa parti itu mampu menerajui negeri atau negara, kata Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar.
Menurut Mahfuz, perkembangan terkini dalam PN, khususnya menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, menimbulkan persoalan sama ada Pas benar-benar mampu mengemudi sebuah gabungan politik yang besar dan kompleks.
Mahfuz berkata persoalan itu bukan semata-mata berkaitan logo PN, sebaliknya turut melibatkan kedudukan parti komponen serta hala tuju bersama gabungan berkenaan.
“Ini menimbulkan satu persoalan yang lebih besar apabila Pas mengambil alih kepimpinan PN daripada Bersatu, adakah PN menjadi semakin kukuh atau semakin berselerak?
“Pas sering tampil dengan keyakinan bahawa merekalah yang paling layak memimpin umat Melayu/Islam dan negara.
“Tetapi persoalannya mudah, kalau memimpin sebuah gabungan pun gagal memberikan keyakinan tentang arah dan penyatuan, bagaimana mahu meyakinkan rakyat bahawa mereka bersedia memimpin sebuah negeri, apatah lagi sebuah negara?,” soal beliau dalam kenyataan petang ini.
Mahfuz juga berkata, PN selama ini mahu dilihat sebagai sebuah kapal yang besar tetapi hari ini rakyat melihat sesuatu yang agak berbeza kerana kapal belum berlayar, anak kapal sudah berbeza pandangan tentang bendera.
“Kalau masalah itu berlaku dalam rumah sendiri, selesaikanlah masalah dalam rumah sendiri. Jangan salahkan jiran kerana nampak dinding rumah kita retak,” ujarnya.