Anwar: Selepas hafaz al-Quran, generasi baharu mesti kuasai AI
Penghayatan terhadap al-Quran tidak seharusnya terhenti pada kemampuan membaca dan menghafaz, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada penguasaan ilmu, pembentukan akhlak serta keberanian mendepani teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, persoalan mengenai punca kemunduran umat Islam yang dibangkitkan ulama Sambas, Syeikh Muhammad Basyuni Imran kepada Sayyid Rashid Rida pada 1929 masih relevan untuk direnungkan sehingga hari ini.
Beliau berkata persoalan itu kemudian dijawab Amir Shakib Arsalan menerusi karya pada 1930 yang mengaitkan kemunduran umat dengan kelemahan penguasaan ilmu, kelunturan akhlak serta hilangnya keberanian dan kesungguhan.
“Persoalan ini terus menggugah kita hingga hari ini,” katanya.
Anwar berkata kebangkitan umat memerlukan pembaharuan dalam ilmu dan perilaku selain penghayatan agama yang mampu menggerakkan usaha serta tanggungjawab dalam kehidupan.
Menurutnya, usaha islah juga tidak boleh terbatas kepada kehadiran dalam majlis keagamaan, sebaliknya perlu disusuli dengan penghayatan terhadap hikmah al-Quran dan kesediaan menguasai ilmu baharu.
“Justeru, ikhtiar islah mesti melampaui kehadiran di majlis seumpama ini dengan menghayati hikmah al-Quran, seraya berani menguasai ilmu baharu termasuk kecerdasan buatan, berpaksikan akidah yang teguh dan akhlak yang luhur,” katanya.
Anwar berkata demikian ketika menghadiri Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-66, 1448 Hijri/2026 Masihi di Kuala Lumpur malam tadi bersama isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Beliau berkata Malaysia perlu melahirkan generasi al-Quran yang bukan sahaja kukuh pegangan agamanya, tetapi turut tekun menuntut ilmu serta mampu membawa nilai rahmah dalam kehidupan dan dakwah.
“Inilah generasi al-Quran yang unik yang mahu kita lahirkan: hatinya berpaut kepada Allah, tekun menuntut ilmu dan membawa rahmah dalam dakwah,” katanya.
Menurut Anwar, generasi berkenaan juga perlu berakar pada khazanah turath Islam selain meneladani kebijaksanaan dan adab para ulama serta ilmuwan.
Katanya, penguasaan ilmu dan pemahaman agama perlu bergerak seiring supaya generasi baharu mampu menterjemahkan petunjuk al-Quran dalam menghadapi persoalan kehidupan dan cabaran dunia semasa.
“Berakar pada khazanah turath Islam serta meneladani kebijaksanaan dan adab para ulama dan ilmuwan, generasi ini mesti berupaya menterjemahkan petunjuk al-Quran untuk menjawab persoalan kehidupan dan memajukan umat,” katanya.
Dalam hantaran itu, Anwar turut memetik firman Allah SWT daripada Surah Ali-Imran, ayat 159, yang antara lain menekankan sifat lemah lembut, memaafkan, memohon keampunan serta bermesyuarat dalam urusan kehidupan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh hakim dan peserta dari pelbagai negara yang menjayakan Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-66.
Anwar berkata penyertaan pelbagai negara dalam majlis itu menjadi ruang untuk memperkukuh penghayatan terhadap al-Quran dan nilai yang dibawanya dalam kehidupan umat Islam.
Dalam konteks cabaran semasa, beliau menegaskan generasi al-Quran perlu mempunyai keupayaan menggabungkan kekuatan akidah dan akhlak dengan penguasaan ilmu baharu agar mampu menghadapi perubahan dunia tanpa mengabaikan asas agama.
BACA JUGA Empat Undang tarik diri kes nak jatuhkan Tuanku Muhriz, tetapi kena bayar RM160,000