Berunding bukan bermakna iktiraf junta Myanmar, dulu Tunku juga berunding dengan Chin Peng

Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Kamil Munim tampil menjawab kenyataan bekas Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago, berhubung isu “karpet merah” kepada ketua junta Myanmar.

Beliau menegaskan bahawa perundingan dan dialog merupakan sebahagian daripada kaedah diplomasi dan tidak wajar dianggap sebagai tanda pengiktirafan atau persetujuan.

Menurutnya, membuka pintu perbincangan tidak bermakna Malaysia menutup mata terhadap kekejaman yang berlaku terhadap rakyat Myanmar, sebaliknya ia merupakan usaha mencari jalan keluar terhadap konflik yang berpanjangan.

“Perundingan dan dialog adalah sebahagian daripada kaedah diplomasi. Ia tidak wajar dianggap sebagai isyarat pengiktirafan dan persetujuan. Membuka pintu perbincangan tidak bermakna kita menutup mata terhadap kekejaman,” katanya dalam satu perkongsian di Facebook.

Beliau berkata, sejarah diplomasi Malaysia sendiri menunjukkan negara ini pernah mengambil pendekatan berunding dengan pihak yang mempunyai pendirian bertentangan demi mencari penyelesaian kepada konflik.

Contohnya pada tahun 1955, Tunku Abdul Rahman duduk semeja dengan Chin Peng dalam Rundingan Baling. 

“Apakah itu bermakna Tunku mengiktiraf perjuangan bersenjata Parti Komunis Malaya? Tentunya tidak.

“Tunku berunding kerana sebagai pemimpin, beliau mempunyai tanggungjawab lebih besar untuk mencari jalan menghentikan keganasan dan menyelamatkan nyawa.

“Pada tahun 1974, ketika ancaman komunis masih nyata di negara kita dan sentimen antikomunis begitu kuat, Tun Abdul Razak mengambil keputusan yang pada ketika itu cukup berani dengan mengadakan lawatan ke Beijing, bertemu Mao Zedong dan Zhou Enlai, lalu membuka hubungan diplomatik dengan Republik Rakyat China. Adakah Tun Razak menjadi komunis kerana berjabat tangan dengan Mao?,” tambah beliau lagi.

Kamil mengingatkan bahawa Malaysia pernah menjadi fasilitator rundingan antara Kerajaan Filipina dengan MILF serta terlibat dalam proses damai di Selatan Thailand.

Dalam konteks Myanmar, katanya, Malaysia bukan hanya bertemu Min Aung Hlaing, malah ketika menjadi Pengerusi ASEAN pada 2025, Perdana Menteri turut mengadakan pertemuan dengan wakil National Unity Government.

Sehubungan itu, beliau berpandangan istilah “bentang permaidani merah” mungkin menarik sebagai tajuk politik, namun tidak menjelaskan keseluruhan kerumitan dalam pendekatan diplomasi.

“Pendekatannya jelas: bercakap dengan pihak-pihak yang berkepentingan untuk mencari jalan keluar kepada krisis

“Soalan yang lebih penting ialah: apakah yang Malaysia tuntut di meja rundingan? Penghentian keganasan, pelaksanaan Kemuafakatan Lima Perkara ASEAN, akses bantuan kemanusiaan serta dialog politik yang inklusif,” jelasnya.

Beliau berkata, dalam konteks hubungan dua hala ketika ini, Malaysia turut mahu memastikan sebarang penghantaran pulang warga Myanmar dilakukan secara sukarela, bermaruah dan selamat.

“Kita boleh mengecam kekejaman dan pada masa yang sama bercakap dengan mereka yang mempunyai kuasa untuk menghentikannya. Kedua-duanya tidak bercanggah.

“Diplomasi adalah keberanian untuk bercakap dengan pihak yang kita tidak setujui apabila keamanan, keselamatan rantau dan nyawa manusia menjadi pertaruhannya,” ujarnya.