LKIM ‘angkat tangan’ minta Bajet 2027 lebih RM140 juta
Dengan sektor perikanan berdepan keperluan prasarana, kebajikan nelayan dan peningkatan kapasiti pengeluaran, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) berharap kerajaan menambah peruntukan bagi agensi itu dalam Bajet 2027 yang akan dibentangkan Datuk Seri Anwar Ibrahim Jumaat ini.
Pengerusinya, Muhammad Faiz Fadzil berkata, LKIM sudah mengemukakan beberapa permohonan kepada kerajaan termasuk bagi meningkatkan keupayaan nelayan, pembangunan sektor akuakultur serta penyediaan dan penambahbaikan prasarana.
Beliau berkata permohonan itu turut merangkumi penambahbaikan bantuan dan insentif sedia ada bagi memastikan kebajikan nelayan terus terpelihara.
“Bajet LKIM keseluruhannya pada tahun lalu adalah RM140 juta. Jadi, harapan kita untuk tahun ini tentulah supaya mendapat peruntukan yang lebih baik.
“Ini adalah pelbagai usaha bagi memperkukuh sektor perikanan serta kebajikan nelayan di seluruh negara. Harapan begitulah, insya-Allah,” katanya selepas menghadiri Program Sesi Libat Urus (SLU) Pengerusi LKIM bersama nelayan kawasan Telok Mas di Pangkalan Nelayan Tanjong Nibong, Telok Mas.
Faiz berkata jumlah sebenar peruntukan yang dipohon bagaimanapun tidak dapat didedahkan ketika ini kerana masih tertakluk kepada proses pertimbangan dan keputusan kerajaan.
Antara keutamaan yang diketengahkan LKIM ialah meningkatkan keupayaan nelayan melalui penyediaan kemudahan asas dan prasarana yang lebih baik, termasuk pembinaan serta penambahbaikan jeti, projek unjam atau tukun tiruan dan perumahan nelayan.
“Banyak permohonan yang kita buat adalah untuk meningkatkan keupayaan nelayan termasuk meningkatkan peruntukan akuakultur, prasarana dari sudut jeti, unjam, perumahan untuk kebajikan mereka serta subsidi dan insentif-insentif sedia ada,” katanya.
Menurutnya, permohonan itu turut membabitkan insentif sara hidup, insentif tangkapan ikan dan subsidi minyak yang disifatkan penting bagi membantu nelayan meneruskan aktiviti menangkap ikan.
Beliau berkata peningkatan peruntukan sektor perikanan bukan sahaja berkaitan kebajikan nelayan, tetapi turut penting untuk membantu meningkatkan pengeluaran hasil perikanan negara.
Dalam perkembangan berkaitan, Faiz berkata keperluan menaik taraf prasarana nelayan Telok Mas antara perkara dibangkitkan komuniti nelayan dalam sesi libat urus berkenaan.
Katanya, nelayan kawasan itu antara lain memohon kerajaan mempertimbangkan pembinaan penghadang ombak bagi meningkatkan aspek keselamatan serta kemudahan di pangkalan nelayan berkenaan.
Susulan itu, beliau mengarahkan pegawai LKIM turun ke lapangan dalam masa terdekat bagi menilai kebolehlaksanaan cadangan berkenaan, termasuk keperluan teknikal dan jumlah peruntukan yang diperlukan.
“Kita akan lihat dari segi keperluan teknikal dan jumlah peruntukan yang diperlukan sebelum perkara ini boleh dipertimbangkan dengan lebih lanjut,” katanya.
Menurut Faiz, kerajaan menerusi LKIM sebelum ini menyediakan kira-kira RM800,000 bagi pembinaan jeti di kawasan berkenaan, manakala RM400,000 diperuntukkan tahun ini untuk pembinaan bangsal nelayan.
Beliau berkata kira-kira 50 nelayan aktif di Telok Mas turut menerima manfaat daripada subsidi minyak serta bantuan kerajaan, dengan penambahbaikan kemudahan dan sokongan sedia ada diharap dapat membantu mereka menjalankan aktiviti menangkap ikan dengan lebih selamat dan selesa.
BACA JUGA Hannah : Tak mahu taman jadi medan selera, 26 lagi taman KL bakal digazet