PARLIMEN │ Pemandu mabuk langgar orang, bukan penjara sahaja – kerajaan mahu wajib bayar ganti rugi

Pesalah yang memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah sehingga menyebabkan kemalangan maut atau kecederaan parah mungkin berdepan satu lagi bentuk hukuman apabila kerajaan bersetuju memasukkan mekanisme pampasan atau ganti rugi kepada mangsa dan waris dalam pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata mekanisme itu akan menjadi tambahan kepada hukuman jenayah sedia ada seperti penjara, denda dan hilang kelayakan memandu.

Menurutnya, langkah itu bertujuan memastikan pesalah bukan sahaja menerima hukuman atas kesalahan dilakukan, malah turut memikul tanggungjawab terhadap kerugian yang ditanggung mangsa atau keluarga akibat perbuatan mereka.

“Pada masa ini, Seksyen 44 Akta 333 memperuntukkan kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah sehingga menyebabkan kecederaan atau kematian,”katanya.

Loke berkata mekanisme berkenaan masih dalam proses diperhalusi, termasuk bentuk pampasan, kaedah menentukan jumlah ganti rugi serta kaedah pelaksanaannya sebelum cadangan pindaan itu dibawa ke Parlimen.

Beliau menjawab pertanyaan Manndzri Nasib (BN-Tenggara) mengenai hasrat Kementerian Pengangkutan menggubal mekanisme perundangan bagi mewajibkan pampasan mandatori atau restitusi daripada pemandu mabuk kepada mangsa atau waris yang mengalami kecederaan parah atau kehilangan ahli keluarga.

Menurut Loke, kerajaan memandang serius kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah yang mengakibatkan kecederaan atau kematian.

Katanya, pendekatan menangani masalah itu tidak boleh bergantung kepada hukuman selepas kejadian semata-mata, sebaliknya perlu merangkumi aspek pencegahan, penguatkuasaan, pendidikan dan kawalan terhadap pemandu berisiko tinggi.

“Namun, kerajaan berpandangan selain hukuman punitif, strategi dilaksanakan perlu merangkumi pencegahan, penguatkuasaan, pendidikan dan kawalan terhadap pemandu berisiko tinggi,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen.

Dari sudut penguatkuasaan, Loke berkata Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus melaksanakan operasi bersasar, termasuk pemeriksaan pengambilan alkohol di lokasi serta pada waktu yang dikenal pasti berisiko tinggi.

Pada masa sama, aspek pencegahan turut diperkukuh menerusi pendidikan dan advokasi mengenai bahaya memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah, termasuk menggalakkan pengguna memilih alternatif perjalanan yang selamat sekiranya tidak berada dalam keadaan sesuai untuk memandu.

Kerajaan juga sedang meneliti pengukuhan sistem mata demerit serta tindakan terhadap lesen memandu pesalah berulang, selaras dengan keputusan dasar yang telah dibuat bagi memperkukuh kerangka tindakan terhadap kesalahan berisiko tinggi.

Loke berkata pada masa ini kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol dibawa terus ke mahkamah dan tidak termasuk dalam senarai kesalahan yang dikenakan mata demerit.

Pendekatan baharu itu, katanya, bertujuan memastikan tindakan terhadap pemandu mabuk tidak terhenti pada hukuman kepada pesalah, sebaliknya turut memberikan perlindungan dan pembelaan lebih baik kepada mangsa serta waris.

Jika mekanisme pampasan itu dimuktamadkan dan diluluskan Parlimen, keluarga mangsa bukan sahaja mempunyai saluran untuk mendapatkan keadilan terhadap pesalah, tetapi juga boleh mendapat pampasan bagi kerugian yang berpunca daripada kemalangan berkenaan.

BACA JUGA 521kg syabu dalam jet dari Subang! PDRM tegaskan bukan dari Malaysia