261,000 serbu F1 Sepang, PMKS tempatan kaut limpahan RM345 juta

Penganjuran Formula 1 (F1) Grand Prix (GP) Bahrain Gulf Air di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) baru-baru ini dianggarkan menjana impak limpahan lebih RM345 juta kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan.

Acara berkenaan menarik kira-kira 261,000 penonton, dengan hampir separuh daripada jumlah itu dijangka terdiri daripada pelancong asing, sekali gus memberi kesan kepada pelbagai sektor ekonomi yang berkait rapat dengan aktiviti pelancongan dan penganjuran acara.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong, berkata kesan positif itu membuktikan peranan acara sukan antarabangsa berskala besar dalam merangsang aktiviti ekonomi, khususnya menerusi peningkatan perbelanjaan pelancong serta permintaan terhadap produk dan perkhidmatan tempatan.

Menurut beliau, limpahan ekonomi itu terutama dirasai PMKS yang terbabit dalam sektor penginapan, makanan dan minuman, peruncitan, pengangkutan, hiburan, perkhidmatan berkaitan pelancongan serta pelbagai aktiviti sokongan lain.

Beliau berkata penonton yang menghadiri acara F1 berkenaan diunjurkan berbelanja 2.17 kali ganda lebih tinggi berbanding pengunjung acara biasa, manakala pelancong asing lazimnya berbelanja lebih banyak berikutan tempoh penginapan yang lebih panjang.

Katanya, perbelanjaan pelancong asing turut merangkumi penginapan, makanan dan minuman, pengangkutan, aktiviti membeli-belah serta pengalaman riadah yang secara langsung memberi manfaat kepada perniagaan tempatan.

“Malaysia boleh memanfaatkan acara sukan antarabangsa seperti F1 sebagai platform untuk membolehkan PMKS meraih peluang dan akses pasaran yang lebih meluas serta meningkatkan penyertaan dalam rantaian nilai berkaitan pelancongan, hospitaliti dan penganjuran acara,” katanya.

Steven berkata kejayaan penganjuran acara berkenaan juga membuka ruang untuk memperkukuh hubungan antara PMKS dengan pemain industri yang lebih besar, penganjur acara, pengusaha pelancongan dan pembekal tempatan.

Langkah itu, katanya, penting bagi memastikan manfaat ekonomi yang terhasil daripada acara berskala besar tidak hanya tertumpu kepada pemain industri utama, sebaliknya dapat dinikmati oleh lebih ramai peniaga kecil.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp Malaysia, Rizal Datuk Nainy, berkata penglibatan PMKS dalam penganjuran acara sukan antarabangsa berskala besar seperti F1 turut menyokong matlamat jangka panjang agensi berkenaan.

“Dalam konteks yang lebih besar, manfaat daripada penganjuran acara sukan antarabangsa berskala besar seperti acara F1 dan penglibatan PMKS ini juga secara tidak langsung menyokong matlamat jangka panjang SME Corp Malaysia, khususnya agenda penskalaan PMKS yang disasarkan di bawah RMK13,” katanya.

Menurutnya, peluang yang terhasil daripada acara berkenaan boleh dimanfaatkan untuk memperluas penyertaan PMKS dalam rantaian nilai berkaitan pelancongan, hospitaliti dan industri acara.

Penganjuran F1 di Sepang itu sekali gus memperlihatkan bagaimana acara antarabangsa mampu membawa kesan ekonomi melangkaui kawasan litar, apabila perbelanjaan ratusan ribu penonton turut mengalir kepada hotel, restoran, pengangkutan, peruncitan dan pelbagai perkhidmatan tempatan.

BACA JUGA Myanmar sanggup bayar sendiri untuk bawa pulang ribuan rakyatnya dari Malaysia