Belanjawan 2027 esok: PMX beri bayangan, apa nasib poket rakyat?
Selepas hampir empat tahun melaksanakan pelbagai reformasi ekonomi, perhatian kini tertumpu kepada Belanjawan 2027 yang akan dibentangkan Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat petang esok, dengan tekanan kos sara hidup dijangka terus menjadi antara tumpuan utama kerajaan.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata Belanjawan 2027 akan memberi keutamaan kepada kesejahteraan rakyat, terutama dalam menangani tekanan kos sara hidup dan memastikan pertumbuhan ekonomi yang dicapai negara diterjemahkan kepada kehidupan lebih baik.
Menurutnya, rakyat mahu melihat hasil pembangunan negara memberi kesan secara langsung terhadap kehidupan seharian, bukan sekadar tercermin melalui angka pertumbuhan ekonomi atau peningkatan pelaburan.
“Belanjawan 2027 akan terus memberi tumpuan kepada usaha meringankan beban, melindungi rakyat, membuka peluang dan memastikan manfaat pembangunan dirasai dengan lebih adil,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Anwar berkata perincian mengenai langkah dan inisiatif yang bakal dilaksanakan kerajaan akan dibentangkan ketika pembentangan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat pada Jumaat.
“Segala perincian akan saya bentangkan Jumaat ini, Insya-Allah, semoga segala ikhtiar ini dipermudah dan diberkati Allah SWT,” katanya.
Beliau berkata istilah seperti pertumbuhan ekonomi, pelaburan strategik, transformasi digital dan kecerdasan buatan mungkin kedengaran besar dan penting dari sudut pembangunan negara, namun bagi rakyat biasa persoalan yang lebih dekat ialah kesannya terhadap kehidupan mereka.
“Bagi rakyat biasa, istilah pertumbuhan ekonomi, pelaburan strategik, transformasi digital dan kecerdasan buatan mungkin kedengaran hebat namun di hujung bulan, persoalannya tetap sama,” katanya.
Justeru, Belanjawan 2027 dijangka memberi perhatian kepada bagaimana hasil pertumbuhan ekonomi dan reformasi yang dilaksanakan kerajaan dapat diterjemahkan kepada peningkatan pendapatan, peluang pekerjaan, perlindungan sosial serta pengurangan tekanan perbelanjaan isi rumah.
Pembentangan itu juga akan menjadi tumpuan selepas kerajaan sebelum ini melaksanakan beberapa langkah pembaharuan termasuk pengukuhan fiskal, penyasaran subsidi dan usaha menarik pelaburan berkualiti bagi memperkukuh asas ekonomi negara.
Dengan tekanan kos sara hidup masih menjadi kebimbangan utama rakyat, Belanjawan 2027 kini dinanti untuk melihat sejauh mana kerajaan dapat menghubungkan pencapaian ekonomi di peringkat makro dengan realiti kehidupan rakyat di peringkat isi rumah.
BACA JUGA Sebar kandungan kematian palsu, MCMC panggil individu bantu siasatan