Belanjawan 2027: Kementerian Komunikasi turun padang sebarkan maklumat menerusi Yakini MADANI

Maklumat mengenai Belanjawan 2027 akan diperluas kepada masyarakat di seluruh negara menerusi program Yakini MADANI, dengan Kementerian Komunikasi membantu Kementerian Kewangan menerangkan secara langsung inisiatif dan manfaat yang bakal diumumkan kerajaan.

Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata usaha itu akan membabitkan semua agensi dan jabatan di bawah kementeriannya, termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Jabatan Penerangan.

Katanya, Kementerian Komunikasi akan menjadi antara saluran utama kerajaan bagi memastikan maklumat mengenai Belanjawan 2027 dapat disampaikan kepada masyarakat secara lebih meluas dan mudah difahami.

“Bagi pihak Kementerian Komunikasi, selain daripada yang kami rancangkan dan telah kami sampaikan daripada pihak industri, sama ada komunikasi, sektor pos dan kurier atau industri kreatif, Kementerian Komunikasi juga akan menjadi titik utama untuk membantu Kementerian Kewangan menyebarluaskan segala maklumat dan program yang akan dibentangkan dalam Belanjawan 2027,” katanya dilapor Bernama.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Inanam Sentral di sini, yang turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Datuk Mustapha Sakmud, yang juga Ahli Parlimen Sepanggar.

Fahmi berkata program itu akan dimulakan dengan sesi taklimat Belanjawan kepada komuniti MADANI di seluruh negara pada Ahad malam yang akan disampaikan wakil Kementerian Kewangan.

“Dari situ, kita akan menjelajah bersama-sama Kementerian Kewangan dalam program yang akan dikenali sebagai Yakini MADANI,” katanya.

Menurut beliau, program jelajah berkenaan akan dibawa ke seluruh pelosok negara bagi memberi ruang kepada masyarakat mendapatkan penerangan secara langsung mengenai kandungan serta manfaat Belanjawan 2027.

Katanya, MCMC, Jabatan Penerangan serta semua agensi dan jabatan di bawah Kementerian Komunikasi akan turut digerakkan bagi menyediakan lokasi untuk masyarakat mendapatkan maklumat lengkap berkaitan program kerajaan.

“Saya akan minta MCMC, Jabatan Penerangan dan semua agensi serta jabatan di bawah Kementerian Komunikasi turut terlibat menyediakan tempat-tempat untuk mendapatkan maklumat penuh mengenai semua program kerajaan dalam Belanjawan 2027,” katanya.

Langkah itu dijangka memperluas capaian maklumat Belanjawan 2027, khususnya kepada komuniti di luar bandar dan kawasan yang memerlukan akses lebih dekat kepada saluran penerangan kerajaan.

BACA JUGA 261,000 serbu F1 Sepang, PMKS tempatan kaut limpahan RM345 juta