Pas heret kemelut Negeri Sembilan, tuduh PH ‘langgar’ raja dan syarak, serang DAP lagi
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang sekali lagi menjadikan Pakatan Harapan (PH) dan DAP sebagai sasaran dalam tulisan terbaharu Minda Presiden dengan mengaitkannya dengan kemelut politik dan adat di Negeri Sembilan.
Dalam tulisan bertajuk Kalangan Yang Jahil dan Zalim Menuduh Melayu Perkauman, Hadi pada awalnya menghuraikan soal kedudukan Melayu-Islam serta mempertahankan tindakan orang Melayu membela kepentingan bangsa daripada dilabel sebagai perkauman.
Namun, tulisan panjang itu kemudian beralih kepada isu politik semasa apabila Hadi menyentuh keadaan di Negeri Sembilan yang menurutnya berkait dengan prinsip adat, syarak dan konsep Raja Berperlembagaan.
Hadi mendakwa perkara yang sebelum ini tidak dicampuri penjajah telah “dilanggar” oleh Kerajaan PH sehingga menyentuh kedudukan raja, syarak dan Kitab Allah.
Ahli Parlimen Marang itu kemudian mengaitkan dakwaan itu dengan naratif bahawa kerajaan dan kumpulan parti PH “didominasi oleh DAP”.
Bagaimanapun, Hadi tidak menghuraikan secara khusus tindakan PH yang dimaksudkannya atau memperincikan bagaimana tindakan berkenaan dikatakan melanggar kedudukan raja dan syarak.
Serangan terhadap DAP itu juga bukan kali pertama dibawa Hadi dalam siri tulisannya, dengan parti berkenaan berulang kali dikaitkan dengan dakwaan mengenai penguasaan politik dan kedudukan Melayu-Islam.
Ekstrem
Dalam tulisan sama, Hadi turut mendakwa terdapat pihak bukan Melayu yang “ekstrem” serta segelintir Melayu yang mencabar Perlembagaan Persekutuan, Islam, bahasa Melayu dan institusi Raja-raja.
Serangan Hadi itu berlaku Ketika pentadbiran Negeri Sembilan ketika ini bukan lagi diterajui PH.
Selepas Pilihan Raya Negeri 1 Ogos lalu, BN yang memenangi 18 kerusi bergabung dengan PN yang memperoleh tujuh kerusi untuk membentuk kerajaan negeri, manakala PH memperoleh 11 daripada keseluruhan 36 kerusi.
Datuk Ismail Lasim daripada BN mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan pada 2 Ogos selepas mendapat perkenan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Hadi kemudian memperluaskan serangannya kepada Kerajaan Persekutuan dengan mendakwa dasar ekonomi dan politik kerajaan menghala ke arah White House di Washington serta menggunakan ungkapan “berimamkan mazhab Donald Trump”.
“Keadaan ini turut mengheret pegawai-pegawai kepada Kerajaan Pusat yang beribadat kepada Allah dan bersolat menghadap Baitullah (Kaabah di Makkah), tetapi dasar ekonomi dan politik kerajaan pula menghala ke arah White House di Washington, berimamkan mazhab Donald Trump,” tulis Hadi lagi.
BACA JUGA Deepfake pemimpin politik makin membimbangkan, 713 kandungan sudah diturunkan