Bajet alternatif mana? Sim Tze Tzin cabar pembangkang tunjuk cara nak tadbir negara
Selepas lima kali Belanjawan Kerajaan MADANI dibentangkan, Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin mempersoalkan kesediaan pembangkang mengambil alih pentadbiran negara apabila masih belum mengemukakan Bajet Alternatif yang komprehensif untuk dinilai rakyat.
Sim berkata Pas dan Parti Wawasan yang bercita-cita membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) perlu membuktikan bahawa mereka mempunyai wawasan ekonomi dan pelan pentadbiran yang jelas, bukan sekadar mengkritik dasar kerajaan.
Menurutnya, pembangkang yang berhasrat mengambil alih Putrajaya perlu menjelaskan bagaimana mereka akan menangani isu kos sara hidup, mengurangkan defisit fiskal, mengurus hutang negara dan memastikan pembangunan ekonomi terus berjalan.
“Politik yang sihat ialah persaingan idea, dasar dan penyelesaian. Bukan sekadar persaingan slogan, kritikan dan tuduhan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Beliau berkata pembangkang sepatutnya memainkan peranan semak dan imbang dengan menawarkan dasar alternatif yang membolehkan rakyat membandingkan keupayaan kerajaan dan pihak yang mahu menggantikannya.
Sebagai contoh, Sim merujuk amalan di United Kingdom yang mempunyai Kabinet Bayangan (Shadow Cabinet) bagi mengemukakan dasar alternatif kepada kerajaan, sekali gus membolehkan pengundi menilai kemampuan pembangkang sebelum pilihan raya.
Katanya, antara persoalan utama yang perlu dijawab pembangkang ialah bagaimana mereka mahu menangani kenaikan harga barang, mengurangkan defisit dan mengurus hutang kerajaan secara bertanggungjawab tanpa membebankan rakyat.
Pembangkang juga perlu menjelaskan projek pembangunan dan pelaburan strategik yang akan diberikan keutamaan sekiranya memerintah, selain mengenal pasti sumber hasil untuk membiayai janji mereka.
Sim turut mempersoalkan pendekatan yang akan digunakan pembangkang bagi menarik pelaburan asing dan merangsang pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK).
“Rakyat berhak mendapat jawapan, lebih-lebih lagi daripada parti-parti yang bercita-cita untuk mengambil alih Putrajaya,” katanya.
Beliau berkata Pakatan Harapan (PH) ketika menjadi pembangkang dahulu konsisten membentangkan Bajet Alternatif, malah sebahagian cadangannya turut diguna pakai oleh kerajaan ketika itu.
Menurut Sim, pengalaman berkenaan menunjukkan bahawa pembangkang bukan sahaja perlu mengkritik kelemahan kerajaan, tetapi juga mengemukakan cadangan yang boleh dilaksanakan untuk memperbaiki kehidupan rakyat.
“Pembangkang yang berkualiti bukan sekadar tahu apa yang hendak dibantah, tetapi juga tahu apa yang hendak dibina,” katanya.
Sim berkata pembentangan Belanjawan 2027 oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sepatutnya menjadi peluang kepada pembangkang mengemukakan pilihan dasar yang berbeza untuk dibandingkan rakyat.
Beliau menggesa pembangkang membentangkan Bajet Alternatif yang menyeluruh supaya rakyat dapat menilai kemampuan, idea dan wawasan mereka sebelum membuat keputusan dalam PRU16.
“Negara maju apabila politik berlumba menawarkan penyelesaian, bukan sekadar mencari kesalahan,” katanya.
BACA JUGA Mat Sabu beri ingatan: Jangan biar Melaka ulang episod Negeri Sembilan