Bukan sekadar gaji RM2,000, PM Anwar mahu graduan dan pekerja separa mahir bermula RM2,500

Bukan sekadar meningkatkan gaji minimum kepada RM2,000 sebulan, Kerajaan MADANI turut memperkenalkan pembaharuan pendapatan pekerja dengan menetapkan gaji permulaan RM2,500 bagi graduan dan pekerja separa mahir.

Perdana Menteri berkata, langkah itu bertujuan memastikan pekerja menerima upah lebih setimpal dengan kelayakan dan kemahiran mereka, ketika peningkatan kos sara hidup terus memberi tekanan kepada rakyat.

Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan memaklumkan kenaikan kadar gaji minimum melibatkan lebih empat juta pekerja di seluruh negara itu berkuat kuasa Jun 2027.

Menurut beliau, pembaharuan tersebut diperlukan kerana peningkatan produktiviti negara selama ini tidak diterjemahkan sepenuhnya kepada pertumbuhan upah pekerja.

Malah, bahagian pampasan pekerja berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia masih rendah, iaitu pada kadar 33.9 peratus.

Sehubungan itu, Anwar menegaskan bahawa kenaikan gaji minimum sahaja tidak mencukupi kerana pekerja berkemahiran dan graduan masih berdepan masalah menerima upah yang tidak sepadan dengan tahap kelayakan mereka.

Pasaran pekerjaan

Bagi menangani keadaan itu, kerajaan akan memperkenalkan kerangka pendapatan pekerja yang menetapkan gaji minimum RM2,500 sebulan sebagai gaji permulaan bagi pekerjaan separa mahir dan graduan.

Langkah tersebut memberi perhatian khusus kepada golongan muda yang baru memasuki pasaran pekerjaan serta pekerja yang memiliki kemahiran tertentu tetapi masih menerima pendapatan rendah.

Dalam masa sama, Anwar berkata, kerajaan menyambut baik komitmen syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang meningkatkan penanda aras gaji sara hidup daripada RM3,100 kepada RM3,400 sebulan.

Peningkatan sebanyak RM300 itu dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 230,000 pekerja, sekali gus menjadi contoh kepada majikan lain dalam menawarkan pendapatan lebih wajar.

Anwar turut menyeru majikan sektor swasta supaya mengikuti langkah GLIC dan GLC dalam menetapkan kadar gaji yang lebih baik, termasuk mengambil teladan daripada syarikat dalam sektor perbankan serta minyak dan gas.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dengan hasil jualan di bawah RM50 juta dikecualikan daripada pelaksanaan kadar gaji minimum RM2,000 bagi memberi ruang kepada mereka menyesuaikan model perniagaan.

Dalam usaha memperkukuh ketelusan pembayaran gaji pula, kerajaan menetapkan bahawa syarikat selain PMKS hanya boleh menuntut potongan cukai bagi perbelanjaan gaji jika bayaran dibuat melalui akaun bank mengikut saluran yang dibenarkan di bawah Akta Kerja 1955.

Langkah itu bertujuan menutup ruang penggajian pekerja asing tanpa izin (PATI) serta memastikan pembayaran upah dibuat melalui saluran yang lebih teratur dan dapat disemak.

BACA JUGA Isu doktor kontrak akhirnya ditangani Belanjawan 2027, lebih 9,000 bakal dapat jawatan tetap