KPM : Jerebu makin teruk: 7 negeri, Putrajaya dan KL tutup sekolah hari ini

Sekolah di seluruh Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya serta daerah Rompin, Pahang akan ditutup esok, 9 Oktober 2026, susulan keadaan jerebu yang semakin memburuk.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadzlina Sidek berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan situasi jerebu semasa, dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) diarahkan terus memantau keadaan serta mengambil tindakan segera jika diperlukan.

Sekolah ditutup

Johor – seluruh negeri

Melaka – seluruh negeri

Negeri Sembilan – seluruh negeri

Pahang – daerah Rompin

Selangor – seluruh negeri

Kuala Lumpur – seluruh Wilayah Persekutuan

Putrajaya – seluruh Wilayah Persekutuan

Sementara itu, sekolah di Perlis, Perak, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak dan Labuan akan beroperasi seperti biasa.

Fadzlina berkata pihaknya memahami bahawa keputusan menutup sekolah memberi kesan kepada urusan harian ibu bapa, terutama dari segi penjagaan dan pengurusan anak masing-masing.

Beliau berkata Kementerian Pendidikan (KPM) akan berusaha memastikan sebarang keputusan penutupan sekolah pada masa akan datang dapat dimaklumkan lebih awal supaya ibu bapa mempunyai masa mencukupi untuk membuat persediaan.

“Masa yang akan datang, kita akan memastikan sebarang keputusan penutupan sekolah dimaklumkan lebih awal supaya ibu bapa mempunyai masa yang mencukupi untuk membuat persediaan,” katanya.

Pada masa sama, beliau meminta ibu bapa terus mendapatkan maklumat terkini menerusi saluran rasmi sekolah, PPD dan JPN masing-masing bagi mengelakkan kekeliruan berhubung status pengoperasian sekolah.

“Keselamatan dan kesihatan anak-anak serta warga sekolah sentiasa menjadi keutamaan kita,” katanya.

Keputusan itu dibuat ketika keadaan jerebu dilaporkan semakin membimbangkan di beberapa kawasan, dengan KPM sebelum ini menetapkan tindakan penutupan sekolah berdasarkan bacaan IPU yang ditetapkan.

Fadzlina berkata pemantauan akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan tindakan sewajarnya dapat diambil mengikut perkembangan kualiti udara di setiap kawasan.

“Saya telah minta semua Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah untuk terus memantau keadaan jerebu dan mengambil tindakan segera sekiranya keadaan memerlukan,” katanya.

Beliau turut mengingatkan ibu bapa supaya tidak bergantung kepada maklumat tidak rasmi di media sosial, sebaliknya mengikuti makluman terkini daripada pihak berkuasa pendidikan negeri dan sekolah masing-masing.