Karpet merah di Putrajaya nampak, laluan PATI di Pasir Mas tak nampak, Syam Ghaz ‘sekolahkan’ Fadhli
Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM), Mohd Hisyamuddin Ghazali menyindir Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari yang sibuk mempertikaikan sambutan rasmi terhadap pemimpin Myanmar.
Walhal, kata Hisyamuddin atau lebih dikenali sebagai Syam Ghaz, kawasan Parlimen Pasir Mas yang diwakili Fadhli sendiri berdepan masalah kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI).
Menurut Syam Ghaz, Ahli Parlimen Pasir Mas itu dilihat lebih berminat membangkitkan isu karpet merah berbanding usaha kerajaan menangani kemasukan PATI dan menyelesaikan masalah warga Myanmar di Malaysia.
“YB Fadhli Shaari pening; karpet merah dan hantar pelarian Myanmar mana lebih penting?
“YB patut fokus benda lain. PATI banyak masuk melalui Pasir Mas, macam mana nak selesaikan?” soalnya menerusi hantaran Facebook.
Syam Ghaz berkata, Fadhli sepatutnya sedar bahawa daerah Pasir Mas yang terletak di sempadan Malaysia-Thailand merupakan antara kawasan yang berdepan cabaran kemasukan pendatang asing, termasuk warga Myanmar dan pelarian Rohingya.
Beliau turut membangkitkan tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Kelantan merobohkan jeti haram di sepanjang Sungai Golok yang menjadi laluan aktiviti penyeludupan dan kemasukan PATI.
Katanya, usaha penguatkuasaan itu bagaimanapun pernah menimbulkan bantahan berhubung kesannya terhadap mata pencarian dan kegiatan ekonomi masyarakat di kawasan sempadan Rantau Panjang, Pasir Mas dan Golok.
Kawalan sempadan
Dalam masa sama, Syam Ghaz menegaskan Kerajaan Persekutuan serius memperkukuh kawalan sempadan, termasuk melalui cadangan pembinaan penghadang keselamatan di sepanjang Sungai Golok bagi membendung kemasukan PATI, senjata, dadah dan barangan seludup.
Mengulas mengenai lawatan Presiden Myanmar, Min Aung Hlaing ke Malaysia pada 7 dan 8 Oktober lalu, Syam Ghaz berkata, pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai kepentingan besar dalam mencari penyelesaian terhadap isu warga Myanmar yang berada di negara ini.
“Sekarang PM sedang berunding dengan PM Myanmar untuk memastikan pelarian dan PATI dari Myanmar dapat dihantar pulang.
“Itu juga yang pembangkang duk tekan kerajaan supaya selesaikan.
“Bila PM berunding dengan PM Myanmar untuk cari penyelesaian, dia pertikai karpet merah dan sambutan kerajaan pula?” katanya.
Hakikatnya, rundingan dua hala itu turut membuahkan persetujuan Myanmar untuk memudahkan penghantaran pulang warganya secara besar-besaran, termasuk menanggung kos berkaitan.
Menurut Anwar, seramai 10,493 warga Myanmar telah dihantar pulang setakat semalam menerusi penerbangan dan kapal tentera laut, manakala urusan seterusnya akan diselaraskan antara kementerian berkaitan kedua-dua negara.
Sembang Pas
Syam Ghaz turut mengungkit rekod Pas ketika berada dalam kerajaan selama 33 bulan, sambil mempersoalkan kemampuan parti itu menyelesaikan masalah yang kini dijadikan bahan kritikan terhadap pentadbiran MADANI.
“Nak harapkan Pas buat? Tidaklah. Masa jadi kerajaan selama 33 bulan pun, kelaut. Nak buat stesen bas pun makan berpuluh tahun, nak sembang apa?” sindirnya.
Beliau turut membangkitkan sejarah isu Rohingya ketika pentadbiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak serta penglibatan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dalam polemik berkenaan.
“Serba tak kena!
“Rohingya yang berlambak di Kelantan dan Terengganu, kamu ambil kisah ke tidak?” soalnya lagi.
Terdahulu, Fadhli mempertikaikan sambutan rasmi terhadap Min Aung Hlaing dengan membandingkannya dengan ketegasan Malaysia terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.
Fadhli berkata, prinsip keadilan dan akauntabiliti antarabangsa tidak sepatutnya berubah mengikut identiti seseorang pemimpin atau kepentingan diplomatik.
BACA JUGA Jenama Indonesia buat silap besar, angkuh ‘beda level’ disambut seruan boikot