Rezeki RM1,000 buat puluhan ribu pemandu teksi dan bas sekolah, bantuan khas disalur minggu depan
Khabar menggembirakan buat lebih 50,000 pemandu teksi, kereta sewa dan bas sekolah.
Kerajaan MADANI mengumumkan Bantuan Khas Kewangan secara sekali bayar (one-off) sebanyak RM1,000 yang akan disalurkan mulai minggu depan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bantuan itu akan memanfaatkan 38,000 pemandu teksi termasuk kereta sewa serta 15,000 pemandu bas sekolah di seluruh negara.
Pengumuman tersebut dibuat ketika beliau membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat hari ini, sebagai sebahagian daripada usaha memastikan hasil kutipan dan pembaharuan tatakelola kerajaan dikembalikan untuk manfaat rakyat.
Menurut Anwar yang juga Menteri Kewangan, bantuan berkenaan dibiayai melalui hasil penjualan nombor pendaftaran kenderaan khas siri H baru-baru ini.
“Oleh itu, susulan penjualan nombor plat khas H baru-baru ini, kerajaan bersetuju memberikan Bantuan Khas Kewangan one-off RM1,000 kepada 38 ribu pemandu teksi termasuk kereta sewa dan 15 ribu pemandu bas sekolah di seluruh negara.
“Bantuan ini akan disalurkan pada minggu hadapan,” katanya.
Pemberian tersebut melibatkan keseluruhan 53,000 pemandu yang bakal menerima bantuan tunai secara langsung bagi membantu meringankan perbelanjaan harian dan kos sara hidup mereka.
Anwar menjelaskan, pendekatan memulangkan hasil kerajaan kepada rakyat telah dilaksanakan sebelum ini.
Ia termasuk bantuan tiket penerbangan RM500 kepada mahasiswa, ujian lesen motosikal kelas B2 secara percuma kepada golongan belia kurang berkemampuan serta pengagihan topi keledar percuma.
BACA JUGA Mangsa pemandu mabuk bakal terbela, PM Anwar mahu pesalah wajib bayar pampasan