Selepas 45 tahun, PMX umum ‘endowmen’ RM1 bilion kepada Bumiputera, 100 ekar tanah strategik disediakan
Kerajaan MADANI mengumumkan penyediaan tanah strategik seluas 50 ekar di sekitar Kuala Lumpur bernilai RM1 bilion sebagai endowmen baharu kepada Yayasan Pelaburan Bumiputra (YPB), sekali gus menamatkan penantian kira-kira 45 tahun sejak sumbangan terakhir kerajaan kepada yayasan itu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah bersejarah itu membuktikan komitmen kerajaan untuk terus memperkukuh penguasaan ekonomi, pemilikan aset dan pembangunan Bumiputera melalui pendekatan yang lebih menyeluruh.
Ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat sebentar tadi, beliau menjelaskan bahawa kali pertama kerajaan menyediakan endowmen kepada YPB adalah pada 1978, berjumlah RM200 juta.
Bagaimanapun, sejak 1981, tiada endowmen susulan diberikan kepada yayasan berkenaan.
“Oleh itu, atas waad dan tanggungjawab memperkasa ekonomi dan pemilikan Bumiputera, kerajaan bersetuju menyediakan tanah strategik seluas 50 ekar di sekitar Kuala Lumpur, bernilai RM1 bilion, sebagai endowmen baharu kepada Yayasan Pelaburan Bumiputra,” katanya.
Pengumuman itu dibuat ketika kerajaan turut melaksanakan langkah memperkukuh pemilikan tanah Melayu di ibu negara, termasuk pewartaan 50 ekar tanah di Kuala Lumpur sebagai Tanah Rizab Melayu.
Anwar berkata, pewartaan tersebut merupakan langkah yang belum pernah dilaksanakan oleh pentadbiran sebelum ini.
Malah, Petronas kini telah memulakan pembangunan di atas 10 ekar pertama tanah berkenaan bagi menyediakan perumahan mampu milik.
Pembangunan perumahan mampu milik itu dilihat sebagai sebahagian daripada usaha memastikan tanah strategik di Kuala Lumpur turut dimanfaatkan untuk keperluan kediaman rakyat, khususnya masyarakat Melayu dan Bumiputera.
Dalam masa sama, penyediaan endowmen RM1 bilion kepada YPB memberi tumpuan kepada pengukuhan pemilikan aset strategik Bumiputera untuk jangka panjang, bukan sekadar penyediaan bantuan kewangan.
Anwar menegaskan bahawa kerajaan tidak pernah berganjak daripada amanah memperkasakan ekonomi Bumiputera, dengan agenda tersebut terus dipacu menerusi Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35).
BACA JUGA Belanjawan 2027: SARA MADANI RM100 dua kali, 13 juta rakyat termasuk M40 dapat manfaat