Bukan sekadar berniaga, Joyah mahu usahawan Melayu Islam bina legasi bertaraf global

FOTO BERITA: Majlis Perasmian & Hi-Tea Smart Partnership Saudagar DMDI Nusantara 2026 oleh Yang Di- Pertua Menteri Melaka, TYT Tun Seri Setia Dr Haji Mohd Ali Mohd Rustam. Turut dihadiri Pengerusi Saudagar Melayu DMDI, Dato’ Hajah Joyah Abd Rashid Putrajaya di Noble Resort Hotel, Melaka. 9hb Okt 2026 (Jumaat)

Saudagar Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) Global terus memperkukuh jaringan perniagaan usahawan Melayu Islam melalui penganjuran Smart Partnership Saudagar DMDI Nusantara 2026 yang berlangsung di Noble Resort Hotel, Melaka.

Pengerusi Saudagar Melayu DMDI Putrajaya, Dato’ Hajah Joyah Abd Rashid berkata, program itu menjadi platform strategik bagi menghubungkan usahawan, pelabur dan rakan perniagaan untuk meneroka peluang perdagangan, pelaburan serta kerjasama ekonomi di peringkat serantau dan antarabangsa.

Menurutnya, jaringan DMDI yang merangkumi 25 negara membuka ruang lebih luas kepada usahawan tempatan untuk mengembangkan perniagaan, berkongsi kepakaran dan membina hubungan strategik dengan komuniti perniagaan luar negara.

Beliau berkata, penganjuran program berkenaan bukan sekadar menghimpunkan usahawan dalam satu majlis, sebaliknya memberi penekanan kepada pembentukan ekosistem perniagaan yang saling melengkapi dan mampu menghasilkan manfaat ekonomi.

“Kita mahu membina satu ekosistem perniagaan yang saling melengkapi, mempunyai jaringan peluang pasaran, perkongsian kepakaran, pelaburan dan kerjasama yang boleh diterjemahkan kepada hasil sebenar,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.

Joyah berkata, usaha memperkasa komuniti saudagar turut berteraskan konsep 3M iaitu Membuka Peluang, Menghubungkan Dunia dan Membina Legasi, sebagai panduan untuk membangunkan jaringan usahawan yang lebih kukuh dan berdaya saing.

Katanya, konsep tersebut menekankan kepentingan membuka akses kepada peluang perniagaan baharu, menghubungkan usahawan dengan pasaran antarabangsa serta membina kejayaan yang dapat diwariskan kepada generasi akan datang.

Beliau turut menegaskan bahawa hubungan strategik yang dibentuk melalui program seumpama itu perlu diterjemahkan kepada kerjasama perniagaan yang berterusan dan bukan sekadar pertemuan atau pertukaran maklumat.

“Kita tidak mahu sekadar berkenalan atau bermesyuarat. Kita mahu menghasilkan peluang dan bukan sekadar berniaga untuk hari ini, tetapi membina legasi untuk masa hadapan,” katanya.

Dalam pada itu, program Smart Partnership Saudagar DMDI Nusantara 2026 turut menghimpunkan delegasi usahawan dari Malaysia dan Indonesia, sekali gus menyediakan ruang untuk memperluas hubungan perdagangan dan perkongsian pengalaman antara kedua-dua negara.

Majlis Perasmian dan Hi-Tea program berkenaan disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Melaka merangkap Presiden DMDI, Tun Seri Setia Dr Mohd Ali Mohd Rustam, dengan kehadiran barisan kepimpinan DMDI, tokoh korporat, rakan strategik serta wakil komuniti perniagaan Nusantara.

Penganjuran program itu menjadi sebahagian daripada usaha memperkukuh peranan Saudagar DMDI Global sebagai platform yang menghubungkan komuniti usahawan Melayu Islam dengan peluang ekonomi di peringkat antarabangsa.