‘Kalau cakap sekadar nak bunyi, lembu pun boleh’, PN dicabar bentang belanjawan alternatif
Pembangkang dicabar supaya membentangkan belanjawan alternatif, bukannya sekadar mempertikaikan perancangan ekonomi Kerajaan MADANI.
Gesaan orang ramai di media sosial itu susulan kritikan Ketua Portfolio Ekonomi Perikatan Nasional (PN), Syahir Sulaiman terhadap Belanjawan 2027 yang kemudian mengundang reaksi pedas warganet.
Menerusi ruangan komen hantaran Facebook Ahli Parlimen Bachok itu, seorang pengguna, Shahrul Zaquan, secara terbuka mempersoalkan sejauh mana PN mempunyai penyelesaian sendiri terhadap cabaran ekonomi negara.
“Bawalah belanjawan alternatif. Kalau cakap sekadar nak bunyi, lembu pun boleh bunyi,” sindirnya.
Syahir dalam ulasannya bertajuk Belanjawan 2027: Antara Janji dan Pelaksanaan, antara lain mempertikaikan keberkesanan bantuan tunai, peningkatan perbelanjaan kerajaan serta kemampuan belanjawan berkenaan meningkatkan taraf hidup rakyat.

Wakil rakyat Pas itu turut mengaitkan pengumuman pelbagai bantuan dan projek pembangunan dengan kemungkinan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) diadakan lebih awal tahun depan.
Menurutnya, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kini berdepan tiga tekanan ekonomi dan politik yang saling berkait, iaitu cukai, subsidi dan undi.
Bagaimanapun, ulasan panjang lebar pemimpin Pas berkenaan dihujani kecaman dan sindiran pengguna media sosial yang mahukan pembangkang tampil dengan cadangan ekonomi lebih konkrit.
Mandul idea
Seorang lagi pengguna Facebook, Tarmizi Rahim, menyindir dengan menulis, “Pembangkang mandul idea.”
Sementara itu, Nik Lee pula mencadangkan supaya Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang sendiri tampil membahaskan belanjawan berkenaan.
“Hantar Presiden (Pas) utk bahaskan,” tulisnya ringkas.
Dalam kenyataannya, Syahir mengakui bantuan tunai, subsidi petrol dan diesel serta bantuan sosial mampu memberikan kelegaan kepada rakyat.
Namun, dia berpendapat langkah sedemikian tidak memadai untuk menangani masalah struktur ekonomi seperti gaji rendah, kenaikan harga barang dan kekurangan peluang pekerjaan berkualiti.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat, dengan tema ‘menggapai di langit serta mengakar di bumi’.
Belanjawan MADANI kelima ini meneruskan tekad untuk memastikan kemajuan negara dirasai setiap rakyat, agar taraf kehidupan terus ditingkatkan, nasib mereka terbela dan setiap daripada kita dapat hidup secara bermaruah.
Belanjawan 2027 meneruskan dasar fiskal mengembang dengan mendaya guna seluruh kekuatan negara keseluruhannya berjumlah RM510 bilion berbanding RM470 bilion sebelum ini.
BACA JUGA Ada yang menangis, ada yang melonjak gembira – Belanjawan 2027 cetus reaksi positif rakyat