Pemandu lori rempuh 11 kereta sah ‘kantoi’ 2 jenis dadah ketika PMX pertegas tiada maaf untuk pemandu mabuk dan ‘lalok’

Pemandu lori yang merempuh 11 kereta dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat Alam Budiman, Persiaran Mokhtar Dahari, di Shah Alam semalam, sah positif amphetamine dan methamphetamine atau syabu.

Kebetulan, petang semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan langkah lebih tegas terhadap pemandu mabuk atau di bawah pengaruh dadah menerusi Belanjawan 2027.

Lelaki berusia 51 tahun itu didapati positif amphetamine dan syabu selepas ujian saringan air kencing dijalankan susulan kemalangan di persimpangan lampu isyarat Alam Budiman, Persiaran Mokhtar Dahari, kira-kira jam 4.20 petang.

Perkembangan itu berlaku pada hari sama Anwar mengumumkan kerajaan akan meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi mewajibkan pemandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah yang menyebabkan kemalangan membayar pampasan kepada mangsa.

Langkah berkenaan merupakan antara penekanan utama Belanjawan 2027 dalam usaha memperkukuh keselamatan jalan raya dan memastikan mangsa kemalangan mendapat pembelaan sewajarnya.

Dalam perkembangan nahas di Alam Budiman, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Sarudin Samah berkata, pemandu lori terbabit ditahan selepas keputusan ujian air kencing mengesahkan dia positif kedua-dua jenis dadah berkenaan.

Kecederaan parah

Menurut beliau, siasatan awal mendapati pemandu itu mendakwa lori dipandunya mengalami masalah brek ketika menuruni bukit dari arah Puncak Perdana menghala ke Puncak Alam.

“Lori itu kemudian terbabas ke laluan bertentangan sebelum melanggar 11 kenderaan yang sedang berhenti di lampu isyarat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kemalangan itu menyebabkan seorang lelaki berusia 58 tahun yang memandu kenderaan utiliti sukan (SUV) Subaru XV mengalami kecederaan parah di kepala dan menerima rawatan di Zon Merah Hospital Al-Sultan Abdullah UiTM Puncak Alam.

Isteri mangsa berusia 53 tahun dan cucu lelaki mereka berumur 17 tahun yang berada dalam kenderaan sama turut menerima rawatan, namun kedua-duanya dilaporkan stabil.

Seorang lagi mangsa, lelaki berusia 29 tahun yang memandu Perodua Myvi, mengalami kecederaan pada badan dan turut dilaporkan stabil.

Kes disiasat mengikut Seksyen 44(1A)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

BACA JUGA Ini cara rakyat berjimat belanja dapur, 5,000 Jualan Agro MADANI sehingga 30 peratus lebih murah