Pemuda AMANAH Kuala Terengganu buat laporan polis terhadap Eric See To

Pemuda AMANAH Kuala Terengganu membuat laporan polis terhadap bekas Timbalan Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN), Eric See-To berhubung komen diterbitkan di Facebook ‘Lim Sian See’ yang didakwa mempunyai unsur mempersenda ayat suci al-Quran.

Laporan dibuat ketuanya, Mohd Nafiis Ahmad, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu malam tadi.

Ia susulan penggunaan perkataan yang dianggap tidak wajar dalam konteks merujuk kepada ayat al-Quran, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap sensitiviti umat Islam dan keharmonian masyarakat.

“Pemuda AMANAH Terengganu berpandangan bahawa perbezaan politik tidak seharusnya dijadikan alasan untuk mempermainkan perkara berkaitan agama. 

“Kebebasan bersuara perlu disertai rasa tanggungjawab dan penghormatan terhadap kesucian agama,” katanya dalam perkongsian di Facebook parti.

Juster Pemuda AMANAH Terengganu menggesa polis menjalankan siasatan menyeluruh berdasarkan peruntukan undang-undang berkaitan, termasuk meneliti konteks sebenar komen berkenaan.

“Berpolitik biarlah ada batasnya. Berbeza pandangan bukan lesen untuk mempersenda agama,” menurut kenyataan tersebut.