Selepas Nik Abduh, Ridhuan Tee pula pertahan Lim Sian See isu persenda ayat Quran
Selepas Senator Pas, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz mempertahankan bekas Timbalan Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN), Eric See-To atau Lim Sian See, hari ini giliran Mohd Ridhuan Tee Abdullah pula mengulas kontroversi membabitkan penggunaan perkataan ‘lighad’ yang mencetuskan kemarahan orang ramai.
Menerusi hantaran di Facebook, Ridhuan Tee berkata, tidak manis mengecam Lim Sian See hanya kerana beliau mengaitkan perkataan ‘lighad’ dengan ‘liwat’.
Beliau turut membandingkan isu berkenaan dengan satu kes kontroversi semalam membabitkan seorang lelaki Melayu yang membawa kavadi dan mencucuk lidah.
“Tak manis kecam Lim Sian See hanya kerana istilah ‘lighad/liwat’. Lagi pun dia belum Islam. Melayu bawa ‘kavadi/cucuk lidah’ lagi dahsyat. Takkan duk diam? Istilah vs Aqidah, berat mana? Berpada-pada bro!” katanya.
Kenyataan itu menyusul selepas Nik Mohamad Abduh turut memberikan respons terhadap kontroversi berkenaan dengan menyifatkan tindakan Lim Sian See sebagai salah faham.
“Eric, anda tidak salah. Ia hanya salah faham akibat perangkap ceplos. Teruskan memburu,” tulis Nik Mohamad Abduh di ruangan komen hantaran Facebook.
Kenyataan kedua-dua individu itu bagaimanapun mencetuskan reaksi orang ramai yang melihat tindakan mempermainkan perkataan daripada ayat al-Quran sebagai tidak wajar dan tidak sepatutnya dipandang ringan.
Malah, ada juga yang mempersoalkan reaksi mereka sekiranya perkara sama dilakukan oleh pemimpin DAP, adakah mereka akan mempertahankan DAP atau sebaliknya.
Lim Sian See berdepan kecaman hebat susulan komennya mengenai perkataan ‘lighad’ dan liwat.
Beliau bagaimanapun menafikan dakwaan mempermainkan ayat al-Quran dan mendakwa komennya hanya merujuk kepada perkataan yang digunakan dalam ucapan belanjawan.
Semalam Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengesahkan siasatan dijalankan berhubung hantaran berkenaan, dengan kenyataan beliau telah dirakam dan sebuah telefon bimbit bersama kad eSIM dirampas untuk pemeriksaan forensik.