Belanjawan 2027 terbesar dalam sejarah, bantuan naik, cukai M40 turun, nelayan pun dibela

Bantuan tunai ditambah, cukai pendapatan golongan M40 dikurangkan dan nelayan terus menerima subsidi diesel serta elaun sara hidup antara langkah yang diketengahkan dalam Belanjawan 2027 yang dibentangkan Kerajaan MADANI.

Setiausaha Agung AMANAH, Faiz Fadzil, berkata belanjawan terbesar dalam sejarah negara itu memperlihatkan usaha kerajaan mengimbangi keperluan meringankan beban rakyat dengan sasaran mengurangkan defisit fiskal kepada 3.3 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Menurutnya, pendekatan itu penting bagi memastikan bantuan kepada rakyat dapat diteruskan tanpa mengabaikan kemampanan kewangan negara dalam jangka panjang.

Antara langkah utama ialah peningkatan peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) daripada RM15 bilion kepada RM16 bilion bagi membantu golongan berpendapatan rendah menghadapi kos sara hidup.

Bagi golongan M40 pula, kerajaan mengurangkan kadar cukai pendapatan individu sebanyak satu mata peratusan bagi dua banjaran pendapatan bercukai antara RM70,001 hingga RM150,000. Pelepasan cukai individu turut dinaikkan daripada RM9,000 kepada RM12,000.

Faiz berkata langkah berkenaan menunjukkan golongan berpendapatan sederhana turut diberikan perhatian, selain bantuan yang disasarkan kepada kelompok berpendapatan rendah.

Beliau turut menyambut baik peruntukan RM178 juta untuk komuniti nelayan, termasuk insentif hasil tangkapan dan Elaun Sara Hidup Nelayan sehingga RM300 sebulan.

Katanya, nelayan juga terus menikmati diesel bersubsidi pada harga RM1.65 seliter, manakala RM30 juta diperuntukkan bagi meningkatkan jumlah pemegang lesen sampan khas daripada 17,000 kepada 20,000 orang.

Selain bantuan langsung kepada nelayan, RM40 juta dalam bentuk peruntukan dan pembiayaan melalui Agrobank disediakan bagi projek akuakultur yang berpotensi meningkatkan bekalan ikan tempatan serta membuka peluang perniagaan baharu.

Faiz berkata gabungan bantuan kebajikan dan sokongan kepada sektor akuakultur itu mencerminkan usaha kerajaan memperkukuh keterjaminan makanan negara sambil memastikan golongan yang bergantung pada sektor perikanan terus mendapat perhatian.

Beliau menyifatkan pendekatan itu selari dengan agenda “Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi”, yang menurutnya perlu diterjemahkan melalui dasar dan peruntukan yang memberi kesan kepada kehidupan rakyat.

Dalam pada itu, Faiz membangkitkan kegagalan Perikatan Nasional (PN), khususnya PAS sebagai antara parti utama pembangkang, mengemukakan belanjawan bayangan sebagai alternatif kepada rancangan perbelanjaan kerajaan.

“Jika benar mereka mempunyai pendekatan yang lebih baik dan bersedia menjadi kerajaan, seharusnya mereka bentangkan angka, jelaskan sumber pembiayaan dan tunjukkan bagaimana bantuan rakyat boleh dipertingkatkan tanpa menjejaskan kedudukan kewangan negara,” katanya.

Menurut Faiz, perbahasan mengenai belanjawan seharusnya tertumpu pada kemampuan setiap pihak menjelaskan cadangan perbelanjaan, sumber hasil dan kesannya terhadap kedudukan fiskal negara, bukan sekadar persaingan politik.

Beliau berkata rakyat perlu diberikan peluang menilai pendekatan ekonomi yang dikemukakan kerajaan dan pembangkang berdasarkan perincian dasar serta kemampuan pelaksanaannya.