MOT dapat berita baik dalam Belanjawan 2027: Tambang murah, bantuan bertambah
Tambang pengangkutan awam lebih mampu milik, bantuan khas RM1,000 kepada pemandu teksi dan bas sekolah serta peningkatan bantuan tiket penerbangan pelajar antara manfaat utama yang diketengahkan Kementerian Pengangkutan (MOT) menerusi Belanjawan MADANI 2027.
Pakej itu mencerminkan usaha kerajaan memperkukuh sistem pengangkutan negara dengan memberi tumpuan kepada kos perjalanan rakyat, keselamatan pengguna dan kecekapan perkhidmatan darat, laut serta udara.
Antara inisiatif yang menarik perhatian ialah pengenalan pas MyKomuter50 pada harga RM50 sebulan, selain penerusan Pas My50 dan MyRailLife bagi membantu mengurangkan perbelanjaan perjalanan rakyat.
Dalam sektor darat, kira-kira 38,000 pemandu teksi dan kereta sewa serta 15,000 pemandu bas sekolah bakal menerima bantuan khas RM1,000.
Kerajaan turut merancang mengoperasikan 12 set tren baharu bagi perkhidmatan KTM Komuter Utara mulai Februari 2027, selain memperoleh 42 set tren elektrik untuk perkhidmatan ETS dan KTM Komuter.
Perkhidmatan tren kendalian Prasarana juga akan ditambah baik menerusi peruntukan RM3.4 bilion, manakala usaha memperluas perkhidmatan bas dan pengangkutan atas permintaan akan diteruskan bagi meningkatkan ketersambungan serta mengurangkan kesesakan, khususnya di Johor Bahru menjelang operasi RTS Link.
Bagi meningkatkan keselamatan jalan raya, kerajaan turut memberi tumpuan kepada pemeriksaan kesihatan pemandu kenderaan perdagangan dan pemasangan sistem telematik pada kenderaan berkenaan.
Cadangan pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 pula akan mewajibkan pesalah yang memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah membayar pampasan kepada mangsa, sekali gus memperkukuh perlindungan terhadap pengguna jalan raya.
Dalam sektor udara, bantuan FLYSiswa MADANI dinaikkan daripada RM400 kepada RM500 untuk lebih 60,000 pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA).
Kerajaan juga meneruskan subsidi Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS) berjumlah RM209 juta setahun bagi 39 laluan di Sabah, Sarawak dan Labuan, yang dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 820,000 penumpang.
Selain itu, sebanyak RM1.1 bilion diperuntukkan untuk menaik taraf lapangan terbang di Kota Kinabalu, Pulau Pinang, Miri, Tawau dan Sandakan.
Kemudahan lapangan terbang pendek (STOLport) di Ba’Kelalan dan Long Banga turut menerima peruntukan RM30 juta bagi meningkatkan kemudahan perhubungan udara di kawasan berkenaan.
Kerajaan juga merancang memasang 48 mesin pengimbas baharu bagi memperkukuh kawalan sempadan dan keselamatan penerbangan serta membangunkan sistem digital pengurusan trafik dron untuk memastikan pengoperasiannya lebih teratur dan selamat.
Dalam sektor maritim, pengecualian cukai pendapatan bagi syarikat perkapalan Malaysia akan dilanjutkan dari 2027 hingga 2036, manakala kadar duti setem ditetapkan pada RM2,000 bagi pembiayaan, pembelian atau pembinaan kapal sehingga RM100 juta dan RM5,000 bagi pembiayaan melebihi nilai itu.
Kerajaan turut memberi tumpuan kepada pembangunan Lumut Maritime Industrial City sebagai hab perindustrian maritim serta penambahbaikan jalan dan akses ke pelabuhan utama bagi melancarkan pergerakan kargo.
Penyerahan Pelabuhan Bintulu kepada Kerajaan Negeri Sarawak pula akan dimuktamadkan menerusi transaksi bernilai RM1.8 bilion.
Bagi sektor logistik, tumpuan diberikan kepada kawasan strategik termasuk Lembah Chuping, NCER Agribio Economic Zone, Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) serta koridor Bukit Kayu Hitam–Sadao.
Pelaksanaan inisiatif Malaysia Maritime Single Window (MMSW) fasa kedua mulai tahun hadapan turut dijangka membantu melancarkan pergerakan barangan, mengurangkan kos operasi dan meningkatkan kecekapan urusan perdagangan.
Menurut MOT, keseluruhan inisiatif Belanjawan MADANI 2027 bertujuan menyediakan sistem pengangkutan yang lebih selamat, cekap, mampu milik dan inklusif, selain menyokong pertumbuhan ekonomi serta meningkatkan daya saing Malaysia.
Kementerian itu berkata kerjasama dengan kementerian dan agensi berkaitan, pengendali perkhidmatan serta pemain industri akan diteruskan bagi memastikan pelaksanaan setiap inisiatif berkesan dan memberikan manfaat nyata kepada rakyat.
BACA JUGA Laporan menyebut Tuanku Muhriz dijemput ke Majlis Raja-Raja?