Siti Zailah cedera kemalangan di Kuala Lipis, Anwar titip doa

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendoakan Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusoff, segera sembuh selepas beliau terbabit dalam kemalangan jalan raya di Lipis, Pahang, petang semalam.

Anwar menerusi hantaran di Facebook berharap wakil rakyat daripada Pas itu diberikan ketabahan dan kembali pulih agar dapat meneruskan khidmat kepada masyarakat.

“Mendoakan Ahli Parlimen Rantau Panjang YB Siti Zailah lekas diberi kesembuhan. Berharap YB tabah dan segera dikembalikan kekuatan untuk berkhidmat kepada rakyat,” katanya.

Siti Zailah dilaporkan masih menerima rawatan di Hospital Lipis susulan kecederaan pada bahagian dada dan perut akibat kemalangan di Kilometer 7, Jalan Lingkaran Tengah Utama, dekat Lipis.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Ismail Man berkata, kemalangan itu berlaku kira-kira jam 6 petang ketika kenderaan utiliti sukan (SUV) yang dinaiki Siti Zailah dipercayai hilang kawalan.

Menurutnya, kenderaan itu dipandu anak perempuan Siti Zailah yang berusia 26 tahun ketika mereka dalam perjalanan dari Gua Musang, Kelantan menuju ke ibu negara.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kenderaan itu dipercayai hilang kawalan dan berpusing sebelum melanggar penghadang jalan sebelah kanan jalan,” katanya dalam kenyataan pagi ini.

Ismail berkata, anak perempuan Siti Zailah tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian itu.

Beliau memaklumkan kes berkenaan disiasat mengikut Peraturan 10 Kaedah-kaedah Lalu lintas Jalan 1959.

Polis turut meminta orang ramai yang menyaksikan kemalangan itu supaya tampil menyalurkan maklumat bagi membantu melengkapkan siasatan.

Setakat ini, Siti Zailah masih dirawat di Hospital Lipis, manakala perkembangan lanjut mengenai keadaan kesihatannya belum dinyatakan dalam kenyataan polis berkenaan.

BACA JUGA Johari minta Umno buka cerita: Siapa sebenarnya nak singkir Tuanku Muhriz?