Dah kata nak ambil yang baik, tapi mahu ‘musnahkan segala-galanya’, ucapan Ketua Pembangkang mengejutkan

Kenyataan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang menyebut mahu mengambil segala perkara baik tetapi kemudian ‘memusnahkan segala-galanya’ selepas pertukaran kerajaan mengejutkan orang ramai.

Ahli Parlimen Larut yang diuar-uarkan sebagai calon Perdana Menteri itu mengeluarkan kenyataan berkenaan ketika membahaskan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat, semalam.

Dalam petikan rakaman yang kemudian tular di media sosial, Hamzah menyatakan keyakinannya bahawa pertukaran kerajaan akan berlaku sebelum memberikan gambaran mengenai tindakan yang bakal diambil.

“Selepas sahaja penukaran kerajaan yang akan berlaku, insya-Allah segala yang baik akan kita ambil dan akan kita musnahkan segala-galanya,” katanya.

Kenyataan itu disusuli sorakan daripada beberapa Ahli Parlimen sebelum Hamzah menyambung dengan ungkapan, “Amar makruf nahi mungkar.”

Bagaimanapun, penggunaan frasa ‘musnahkan segala-galanya’ mencetuskan tanda tanya dalam kalangan pengguna media sosial lantaran dia terlebih dahulu menyebut mahu mengambil perkara yang baik.

Seorang pengguna Facebook, Ziha Md Yatim, secara sinis mempersoalkan apa sebenarnya yang mahu dikekalkan sekiranya segala-galanya akhirnya dimusnahkan.

“Dah ambil yg baik, lepas tu nak musnahkan. So yg tinggal apa?” soalnya.

Fadhlan Ghazali pula mempertikaikan kejelasan kenyataan itu sambil mengaitkannya dengan persoalan kepimpinan Perikatan Nasional (PN).

“Apa dia melalut ni? Ni ke calon PM dari PN?” tulisnya.

Seorang lagi pengguna, Salleh Rasul, mengakui beliau sendiri terkejut ketika mendengar kenyataan berkenaan.

Tidak kurang juga pengguna yang memberikan reaksi lebih keras, termasuk Wmazrul Wan Muda yang menulis, “Harap-harap merekalah yang musnah.”

Sementara itu, Mohd Fauzi Saidin menyentuh mengenai parti baharu yang dikaitkan dengan Hamzah, sambil menyindir cita-cita politiknya untuk menerajui pentadbiran negara.

Dyra Nazry pula melihat ungkapan tersebut sebagai sesuatu yang kedengaran penuh dendam, selain mempersoalkan kaitannya dengan prinsip Islam yang disebut oleh Hamzah.

“Penuh dendam betul bunyinya. Tak faham konsep ‘amar makruf nahi mungkar’ ni,” tulisnya.

Dalam ajaran Islam, amar makruf nahi mungkar membawa maksud menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.

BACA JUGA Tuan Ibrahim sibuk tanya LPT3, tujuh projek untuk rakyat Kelantan dalam Belanjawan 2027 tak nampak?