Kes pelajar dirempuh depan surau sekolah, guru didakwa cuai sebabkan kematian

Seorang guru Pendidikan Islam didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan cuai melanggar dua pelajar Tingkatan Satu sehingga menyebabkan kematian dan kecederaan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjong Mas April lalu.

Tertuduh, Sakinah Ismail, 57, bagaimanapun mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Wan Mohd. I’zzat Wan Abdullah.

Mengikut pertuduhan pertama, wanita itu didakwa melakukan perbuatan cuai sehingga menyebabkan kematian Nur Fatimatul Hawa Mohd Azaudin, 13.

Perbuatan itu dilakukan di kawasan surau SMK Tanjung Mas, Taman Uda Murni, Jalan Pengkalan Chepa kira-kira pukul 1.40 tengah hari pada 12 April 2026.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Sakinah dituduh dengan cuai melanggar Zara Akhtar Zamzuri, 13, menggunakan sebuah SUV jenis Honda HR-V sehingga membahayakan nyawanya di lokasi, tarikh dan pada waktu yang sama.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga bulan atau denda maksimum RM500 atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Nadzir Abdullah manakala tertuduh diwakili peguam, Muhammad Hasif Hassan dan Wan Fadhil Fayyadh Wan Mohd. Zuhari.

Terdahulu, Muhammad Nadzir menawarkan jaminan RM3,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin.

Muhamamd Hasif dalam rayuannya memohon ikat jamin paling minimum kerana tertuduh adalah seorang ustazah yang berdisiplin dan akan memberi kerjasama baik selain tinggal di Kota Bharu.

“Tertuduh tidak pernah terbabit dengan sebarang kesalahan sudah menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang sebanyak dua kali.

“Selain itu, anak guam saya juga merupakan penerima anugerah guru personaliti terbaik di sekolah tersebut pada tahun lalu dan akan bersara pada 16 November tahun depan,” katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan ikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua kes.

Mahkamah turut menetapkan 6 Disember depan untuk sebutan semula kes dan tertuduh membayar jaminan tersebut.

Media sebelum ini melaporkan, seorang pelajar Tingkatan Satu maut selepas dipercayai dirempuh sebuah kereta ketika sedang memakai kasut di hadapan surau fi sebuah sekolah.