Anwar kenang jasa pemandu teksi bantu keluarganya ketika dipenjara, sanggup hantar makanan percuma

FOTO BERITA: Majlis Peluncuran Pemberian Bantuan Khas Kewangan kepada Pemandu Teksi, Kereta Sewa Bas Sekolah disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim Perdana Menteri. Hadir sama YB Loke Siew Fook, Menteri Pengangkutan Malaysia di Dewan Sentral RAC, Kementerian Pengangkutan Malaysia, Putrajaya. 14hb Oktober 2026 (Rabu)

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berkongsi kisah menyentuh hati mengenai jasa pemandu teksi yang pernah membantunya dan keluarga ketika beliau dipenjarakan pada 1998. Anwar berkata, golongan pemandu teksi merupakan antara penyokong paling setia ketika beliau berdepan detik sukar, termasuk selepas ditahan dan dipukul sebelum dimasukkan ke penjara.

“Bila saya ditangkap pada 1998 dulu, penyokong saya yang paling tegar itu pemandu teksi. Saya salut, terima kasih banyak. Itu masa saya susah, kena terajang, kena pukul, masuk lokap, orang ini yang bantu saya,” katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Pemberian Bantuan Khas Kewangan kepada Pemandu Teksi, Kereta Sewa dan Bas Sekolah di Dewan Sentral RAC, Kementerian Pengangkutan, Putrajaya, hari ini.

Menurut Anwar, ketika penyokongnya berkumpul pada waktu malam, terdapat pemandu teksi yang sanggup menghantar makanan dan kuih-muih kepada mereka tanpa mengenakan sebarang bayaran. Beliau turut menceritakan kisah seorang peniaga kecil dari Nilai yang mahu menghantar telur masin sebagai sumbangan, namun pemandu teksi yang membawanya enggan menerima tambang selepas mengetahui tujuan perjalanan tersebut.

“Dia kata, tak apa pak cik, saya tak ambil duit. Ini ikhlas sumbangan saya sebagai rakyat,” katanya sambil menjelaskan bahawa beliau mempunyai puluhan lagi kisah pengorbanan pemandu teksi ketika itu.
Anwar turut mengimbau pengalaman seorang wartawan terkenal dari Perancis yang datang membuat liputan perbicaraannya dan mendapat gambaran mengenai sokongan rakyat selepas mendengar penjelasan panjang seorang pemandu teksi sepanjang perjalanan dari hotel ke mahkamah.

Katanya, pengalaman itu membuktikan pemandu teksi bukan sekadar membawa penumpang, malah memainkan peranan penting dalam menyampaikan maklumat serta pandangan masyarakat. Dalam ucapannya, Anwar mengakui golongan pemandu teksi kini berdepan pelbagai cabaran, khususnya persaingan daripada perkhidmatan e-hailing seperti Grab serta tekanan kos sara hidup.

Justeru, beliau menyambut baik inisiatif Kementerian Pengangkutan yang diterajui Anthony Loke Siew Fook untuk menyalurkan bantuan khas RM1,000 secara sekali bayar kepada kira-kira 53,000 pemandu teksi, kereta sewa dan bas sekolah di seluruh negara. Anwar menjelaskan, bantuan berjumlah RM53 juta itu dapat dilaksanakan hasil peningkatan kutipan kerajaan, termasuk melalui bidaan nombor pendaftaran khas kenderaan.

“Inilah masanya kita pulangkan balik kepada rakyat kerana sumbangan mereka selama ini. Mereka sabar pun lama,” katanya. Perdana Menteri menegaskan bahawa kerajaan akan terus mencari jalan meringankan beban rakyat mengikut kemampuan kewangan negara, termasuk melalui penambahan bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).


Beliau turut mengingatkan bahawa pembangunan negara bukan hanya bergantung kepada pemimpin atau golongan profesional, sebaliknya turut disumbangkan oleh pekerja biasa termasuk pemandu teksi, petani, nelayan dan pekerja sokongan.
“Kalau kita nak hargai, hargai semua. Yang atas kita bagi lebih, tapi jangan tinggal yang di bawah. Ini dia Kerajaan MADANI,” tegasnya.