Dunia pekak! Anwar persoal mengapa penderitaan Palestin terus dibiarkan
Lebih 70 tahun rakyat Palestin berdepan penindasan, tetapi dunia masih gagal mempertahankan demokrasi dan hak asasi manusia secara adil, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar mempersoalkan sikap masyarakat antarabangsa yang seolah-olah membiarkan penderitaan mereka berterusan.
Perdana Menteri berkata layanan berbeza terhadap rakyat Palestin menimbulkan persoalan besar tentang sejauh mana prinsip demokrasi dan hak asasi manusia benar-benar dipertahankan, terutama apabila melibatkan bangsa Arab, rakyat Palestin dan umat Islam.
Menurutnya, prinsip berkenaan tidak sepatutnya sekadar menjadi retorik sedangkan manusia terus diperlakukan secara tidak berperikemanusiaan.
“Kita dibangunkan sebagai anak-anak dari negara yang terjajah dan diajar oleh ibu bapa untuk menentang segala bentuk penjajahan, ketidakadilan serta kezaliman.
“Apabila kita dewasa, kita melihat kekejaman di depan mata dan kegagalan dunia bukan sahaja untuk memperjuangkan malah untuk menyuarakan keadilan,” katanya.
Beliau berucap pada Majlis Makan Malam Sumud Nusantara, Global Sumud Congress 2026 di Bangi malam tadi.
Anwar berkata perjuangan membebaskan Palestin tidak boleh dilihat sebagai isu yang hanya timbul sejak dua atau tiga tahun kebelakangan ini, sebaliknya perlu difahami dalam konteks penderitaan rakyatnya yang berlarutan selama beberapa dekad.
Katanya, masyarakat antarabangsa tidak boleh terus berdiam diri ketika rakyat tidak berdosa, khususnya kanak-kanak, terpaksa menanggung penderitaan berpanjangan.
“Bagaimana kita hendak membandingkan rayuan dan tangisan bayi serta kanak-kanak yang menderita selama beberapa dekad dengan masalah kita sendiri?
“Mereka merayu supaya dunia mendengar, tetapi dunia seolah-olah pekak,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menggesa masyarakat antarabangsa terus menyumbang tenaga, khidmat dan sokongan bagi membantu rakyat Palestin, meskipun usaha berkenaan berdepan pelbagai risiko serta cabaran.
Anwar berkata setiap sumbangan, walaupun kecil, tetap bermakna dan tidak seharusnya diketepikan hanya kerana masyarakat terlalu sibuk dengan urusan masing-masing.
Beliau turut menghargai penyertaan aktivis dan kumpulan solidariti dari pelbagai negara yang terus menyuarakan sokongan terhadap perjuangan rakyat Palestin.
Menurutnya, kehadiran mereka membuktikan suara yang menuntut kebebasan dan keadilan masih wujud di seluruh dunia, termasuk Eropah, Amerika, Asia, Afrika dan Amerika Latin.
Dalam pada itu, Anwar menegaskan komitmen Kerajaan MADANI terhadap perjuangan rakyat Palestin dengan kehadirannya bersama barisan menteri dan pemimpin kanan kerajaan pada program berkenaan.
Beliau berharap usaha berterusan masyarakat antarabangsa dapat meningkatkan kesedaran global serta mengukuhkan tekanan bagi memastikan keadilan ditegakkan.
“Insya-Allah, saya percaya keadilan akan menang dan Palestin akan bebas,” katanya.
Anwar turut berdoa agar segala usaha membantu rakyat Palestin mendapat keberkatan Allah SWT, selain kebebasan dapat dicapai untuk Palestin, Gaza dan Masjid Al-Aqsa.
BACA JUGA Selepas pertikaian Undang Luak, Jelebu saksi istiadat bersejarah di Seri Menanti hari ini