Pas terus sakan persoal ‘lighad’ PMX, padahal teks Belanjawan 2027 dah sebut pun ‘hari akhirat’
Ketika beberapa pemimpin Pas terus mempertikaikan penggunaan perkataan ‘lighad’ oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pembentangan Belanjawan 2027, semakan terhadap teks rasmi ucapan berkenaan mendapati maksud ‘hari akhirat’ sebenarnya sudah dinyatakan dengan jelas sejak awal lagi.
Perkara itu terkandung dalam perenggan ketiga mukadimah Belanjawan MADANI Kelima yang dibentangkan Anwar di Dewan Rakyat pada 9 Oktober lalu, apabila beliau memetik Surah al-Hasyr ayat 18 berserta terjemahan bahasa Melayu yang secara khusus menyebut ungkapan “untuk hari esok (hari akhirat)”.
Malah, dalam terjemahan ayat tersebut, turut disebut mengenai perintah supaya manusia bertakwa kepada Allah SWT dan memperhatikan segala amalan yang telah disediakan untuk menghadapi hari akhirat.
Ini bermakna konteks akhirat tidak diketepikan dalam teks rasmi belanjawan sekaligus bercanggah dengan kritikan pemimpin Pas berkenaan penggunaan istilah berkenaan.

Bagaimanapun, Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas Selangor, Dr Aubidullah Fahim Ibrahim dilihat membawa naratif sama dengan Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz yang jugaAhli Dewan Negara.
Aubidullah dipetik Harakahdaily hari ini mempersoalkan penggunaan perkataan ‘lighadin’ apabila dikaitkan dengan perancangan masa depan negara tanpa memberikan penjelasan yang mencukupi mengenai konteks akhirat.
Menurut Aubidullah, tafsiran utama perkataan itu dalam Surah al-Hasyr ayat 18 merujuk kepada persediaan manusia menghadapi hari kebangkitan, sebagaimana dihuraikan oleh ulama tafsir termasuk Imam al-Tabari, Ibnu Kathir dan al-Jalalain.
Katanya, makna sesuatu perkataan dalam al-Quran tidak boleh difahami melalui sudut bahasa semata-mata tanpa mengambil kira disiplin tafsir, khususnya apabila ungkapan berkenaan digunakan dalam perbahasan mengenai dasar dan pentadbiran negara.
Tidak berhenti
Namun, semakan terhadap teks ucapan yang diterbitkan Kementerian Kewangan dan Pejabat Perdana Menteri menunjukkan Anwar tidak berhenti pada maksud bahasa ‘hari esok’ semata-mata.
PMX terlebih dahulu mengemukakan ayat al-Quran bersama terjemahan yang menyebut akhirat sebelum mengembangkan pengajaran mengenai tanggungjawab menyediakan masa depan lebih baik untuk generasi akan datang.

Dalam perenggan keempat, Anwar menghuraikan ‘lighad’ sebagai seruan supaya asas masa hadapan dibina dengan kukuh, termasuk memikirkan peluang yang perlu diwujudkan serta warisan yang bakal ditinggalkan kepada generasi seterusnya.
Penggunaan tersebut dibuat dalam konteks pembentangan dasar kewangan dan pembangunan negara, bukannya dinyatakan sebagai pengganti tafsiran utama ayat al-Quran.
Menariknya, Aubidullah sendiri mengakui bahawa Islam tidak menghalang perancangan pembangunan ekonomi, pendidikan, pengurusan kewangan serta kesejahteraan rakyat.
Dia turut menyebut kisah Nabi Yusuf AS dalam Surah Yusuf ayat 47 hingga 49 sebagai contoh kepentingan perancangan ekonomi untuk menghadapi kesukaran pada masa depan.
Malah, pemimpin Pas itu berkata, prinsip muhasabah, tanggungjawab dan pertimbangan terhadap kesan sesuatu tindakan boleh dijadikan panduan dalam pentadbiran negara.
Bagaimanapun, katanya, pengajaran tambahan daripada sesuatu ayat tidak harus menggantikan maksud utama sebagaimana dihuraikan ulama tafsir.
Sebelum ini, Nik Abduh turut mempertikaikan penggunaan ‘lighad’ oleh Anwar dengan mendakwa Perdana Menteri tersilap mentafsirkan ayat berkenaan apabila menghubungkannya dengan perancangan belanjawan untuk generasi akan datang.
Dalam perkembangan berkaitan, Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid berpendapat makna asal Surah al-Hasyr ayat 18 sememangnya berkaitan persediaan menghadapi akhirat, namun pengajaran mengenai muhasabah dan tanggungjawab juga boleh diterapkan dalam pentadbiran serta perancangan masa depan negara.
BACA JUGA Masa saya susah, pemandu teksi bantu! Takkan jadi PM saya lupakan mereka – Anwar