Ramkarpal, Takiyuddin antara 4 MP dilantik anggotai Majlis Perkhidmatan Parlimen pertama

Empat Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang hari ini dilantik menganggotai Majlis Perkhidmatan Parlimen yang pertama di bawah Akta Perkhidmatan Parlimen 2025.

Mereka terdiri daripada dua Ahli Parlimen blok kerajaan iaitu Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) dan Datuk Seri Hasni Mohammad (BN-Simpang Renggam), manakala blok pembangkang pula diwakili Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran) dan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu).

Usul diluluskan melalui undian suara di Dewan Rakyat hari ini, selepas keempat-empat Ahli Parlimen itu dicalonkan oleh Jawatankuasa Pemilih Parlimen yang bermesyuarat semalam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, cadangan pelantikan itu dipersetujui Jawatankuasa Pemilih pada 13 Oktober lalu.

“Jawatankuasa Pemilih mengikut peraturan Mesyuarat 76 dengan ini menjalankan kewajipan-kewajipan yang diperuntukkan baginya oleh Seksyen 3 (2) (f) Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 bagi menamakan ahli-ahli Dewan Rakyat yang akan menganggotai Majlis Perkhidmatan Parlimen.

“Oleh itu, mengikut Seksyen 3 (2) (f) Akta Perkhidmatan Parlimen 2025, empat ahli Dewan Rakyat yang dicadangkan oleh Jawatankuasa Pemilih seperti di perenggan atas hendaklah diterima dan dipersetujui,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Di bawah Akta Perkhidmatan Parlimen 2025, empat Ahli Parlimen itu akan terlibat dalam keputusan berkaitan pelantikan kakitangan Parlimen, gaji, syarat pekerjaan, kewangan dan latihan.

Mereka masing-masing mempunyai satu undi dalam majlis itu, yang akan membuat keputusan berdasarkan majoriti mudah

Majlis itu akan dipengerusikan bersama oleh speaker Dewan Rakyat dan presiden Dewan Negara. Anggota lain termasuk timbalan speaker, senator serta pegawai kanan kerajaan dan Parlimen.

Akta yang berkuat kuasa pada 1 Okt itu memberikan Parlimen kawalan lebih besar terhadap urusannya sendiri, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada Jabatan Perdana Menteri (JPM) dalam pengurusan kakitangan, kewangan dan pentadbiran.